PENYOKONG Harimau Malaya yang sanggup menjual motosikalnya demi menyaksikan perjuangan skuad negara di Doha, Qatar dalam saingan Piala Asia 2023, pulang ke tanah air dengan kejutan tidak disangka-sangka. Pemuda yang dikenali sebagai Derrick Gan itu menerima hadiah sebuah motosikal baharu daripada Modenas, setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. "Rezeki buat @derrickganjr terima motor daripada @modenas.malaysia. "Derrick, teruskan sokong dan jadi pemain ke-12 pasukan Harimau Malaya! Selamanya Harimau Malaya!" menurut hantaran Radio Era yang dikongsi oleh Facebook Modenas pada Ahad. Pengorbanan seorang penyokong Harimau Malaya untuk ke Doha, Qatar dengan menjual motosikalnya. Derrick menerima hadiah sebuah motor skuter Modenas Karisma bernilai RM5,400 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Esekutif Modenas, Roslan Roskan. Terdahulu, Derrick menjadi tumpuan ramai kerana sanggup membuat pengorbanan besar untuk menyaksikan perjuangan skuad negara di Doha, Qatar dalam saingan Piala Asia 2023. ARTIKEL BERKAITAN: Jual Yamaha LC5 demi sokong Harimau Malaya di Qatar... Tangisan lelaki rambut perang curi tumpuan! Lebih meninggalkan memori indah ialah aksi Derrick yang berambut perang menjerit sambil menangis kegembiraan di Stadium Al Janoub pada Khamis malam sempat dirakam menerusi siaran langsung hingga mencuri tumpuan seluruh dunia. Detik bersejarah Harimau Malaya berjaya mengikat gergasi Asia, Korea Selatan dengan jaringan tiga sama dilihat cukup bermakna buat Derrick dan rakyat Malaysia. Menariknya, demi menampung kos perjalanan ke Doha, Derrick dikatakan sanggup menjual motosikal Yamaha jenis LC5 Speed dengan harga permulaan RM4,500. Derrick (kanan) bersama adiknya di Stadium Al Janoub. Melalui satu hantaran di Facebook, Derrick berkata ia adalah motosikal kesayangan adiknya tetapi sanggup dilepaskan kerana mahu memenuhi impian untuk melihat dengan mata sendiri pasukan negara bermain di Piala Asia 2023. "Mencari dana ke Qatar! Malaysia Road to Asia! Tumpang lalu adik nak lepaskan motosikal demi negara tercinta. Kejohanan terbesar dalam sejarah Malaysia! "Ada sesiapa sudi tolong tak? Apa-apa roger saja," tulis Derrick menerusi satu hantaran di Facebook bertarikh 28 Disember tahun lalu. Dalam perlawanan penuh dramatik pada Khamis, Derrick bersama adiknya dan jutaan penyokong Malaysia yang lain terlopong selepas skuad kebangsaan menyajikan prestasi cemerlang walaupun sudah sah tersingkir. Malaysia menduduki tangga tercorot dalam kumpulan E dengan hanya satu mata selepas tewas berturut-turut di tangan Jordan dan Bahrain sebelum bertemu Korea Selatan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube