PEMAIN Selangor FC, Faisal Halim dijangka perlu menjalani beberapa lagi siri pembedahan kerana mengalami lecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara pada Ahad. Perkara tersebut disahkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar sambil menambah, Faisal akan menjalani pembedahan kedua akibat kecederaan yang dialami. "Kami bertemu dengannya (Faisal) di hospital pertama selepas dia dirawat. Dia boleh bercakap dan berkomunikasi, dalam nada yang rendah. "Kemudian kelab memindahkannya ke hospital panel dan ketika itulah diberitahu dia perlu dibedah kerana keadaan kulitnya. "Pada tengah hari Isnin, kami diberitahu ia bukan melecur tahap dua tetapi tahap empat. Ia agak teruk. Dia tidak dapat rasa lengan kirinya. "Akan ada pembedahan kedua atau lebih. Dia tidak dapat berkomunikasi dengan jelas selepas pembedahan (pertama) dan akan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama sepuluh hari," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Keadaan Faisal Halim tidak begitu baik, dalam pemerhatian doktor Shahril menambah, pemain yang lebih dikenali sebagai Mickey itu perlu berada di hospital sekurang-kurangnya tiga hingga empat minggu. Pada Isnin, media melaporkan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai ada kaitan dengan kes berkenaan berjaya diberkas dan kini direman selama dua hari untuk membantu siasatan. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek dikesan berdasarkan nombor pendaftaran motosikal yang dikenal pasti semasa serangan itu. Beliau dalam pada itu turut menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung kejadian berkenaan. -THESTAR Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube