suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kontinjen kecil, pencapaian besar… Malaysia raih lapan emas di Sukan Komanwel Glasgow 2026 

Pasukan angkat berat negara mencipta kejayaan luar biasa selepas meraih lima pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa. -Gambar Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia

MALAYSIA menutup tirai Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan pencapaian membanggakan apabila membawa pulang lapan pingat emas, tiga perak dan lima gangsa, sekali gus menduduki tangga ke-10 keseluruhan.

Lebih membanggakan, kejayaan itu diraih menerusi antara kontinjen paling kecil negara ke temasya berkenaan, iaitu seramai 59 atlet termasuk 22 atlet para yang bertanding dalam lapan daripada 10 jenis sukan serta 63 daripada 215 acara dipertandingkan.

Kutipan lapan emas itu merupakan pencapaian terbaik Malaysia dalam tempoh 16 tahun, mengatasi tujuh emas yang diraih pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Rekod terbaik negara kekal pada edisi New Delhi 2010 dengan kutipan 12 emas, 10 perak dan 14 gangsa.

Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, kejayaan itu membuktikan kesungguhan atlet dan jurulatih yang memberikan komitmen sepanjang temasya.

"Penghargaan harus diberikan kepada atlet dan jurulatih. Sama ada memenangi pingat atau tidak, semua atlet telah memberikan terbaik demi Malaysia.

"Walaupun jumlah keseluruhan pingat lebih rendah berbanding 23 pingat di Birmingham empat tahun lalu, kempen di Glasgow boleh dianggap lebih efisien berdasarkan saiz kontinjen dan jumlah acara yang disertai," katanya.

Atlet judo, Amir Daniel mencipta sejarah meraih pingat emas pertama Malaysia dalam sukan itu. -Gambar Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia

Atlet judo, Amir Daniel mencipta sejarah meraih pingat emas pertama Malaysia dalam sukan itu. -Gambar Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia

Pada Birmingham 2022, Malaysia menghantar 105 atlet yang bertanding dalam 15 jenis sukan dan 96 acara sebelum membawa pulang tujuh emas, lapan perak serta lapan gangsa.

Awalan turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta semua persatuan sukan kebangsaan atas sokongan yang diberikan.

Beliau turut memuji prestasi cemerlang Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), yang menyumbang hampir separuh daripada keseluruhan pingat negara.

Sukan angkat berat muncul penyumbang terbesar dengan lima emas, satu perak dan satu gangsa menerusi sembilan atlet.

Lima pemenang emas ialah Aniq Kasdan (60kg lelaki), Aznil Bidin (65kg), Mohd Erry Hidayat (79kg), Hafizuddin Roslin (88kg) dan Syahmi Nor Ghazali (94kg).

Selain itu, atlet judo Amir Daniel Abdul Majeed mencipta sejarah apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam sukan itu menerusi kategori bawah 81 kilogram.

Legenda berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, turut menamatkan penampilan terakhirnya di Sukan Komanwel dengan bergaya apabila merangkul emas acara keirin lelaki, sekali gus melengkapkan koleksi kejuaraan yang sekian lama diidamkan.

Jaguh para olahraga, Abdul Latif Romly, pula mencipta sejarah apabila memenangi kategori lompat jauh T20 lelaki, yang dipertandingkan buat kali pertama di temasya berkenaan.

Sementara itu, skuad boling padang menyumbang dua pingat perak dan dua gangsa.

Izzat Shameer Dzulkeple menjadi pemain boling padang lelaki pertama Malaysia memenangi pingat dalam acara perseorangan selepas meraih perak, manakala juara Piala Dunia, Emma Firyana Saroji, terlepas peluang menaiki podium apabila menamatkan saingan di tempat keempat acara perseorangan wanita.

Sukan Komanwel edisi seterusnya dijadual berlangsung di Ahmedabad, India, dengan sekurang-kurangnya 17 jenis sukan dijangka dipertandingkan, sekali gus memberi peluang kepada Malaysia untuk memburu pencapaian yang lebih cemerlang. -The Star

Artikel Lain