SERAMAI 15 peserta semakin menghampiri impian untuk menjadi pelumba sebenar selepas menempah slot pada final eRacing Grand Prix Sea. Selepas lebih 200 peserta menyahut cabaran dalam ujian masa bulan lepas, 45 pelumba yang berada dalam kedudukan teratas berusia 15 hingga 40 tahun bersaing pada separuh akhir selama dua hari sebelum 15 pelumba teratas mara ke final. Para peserta dibahagian kepada tiga kumpulan – Biru, Hijau dan Merah - untuk beraksi dalam perlumbaan sebanyak empat pusingan dengan lima pelumba teratas daeri setiap kumpulan layak ke final yang dijadualkan dari 31 Ogos hingga 1 September. Hasil cetusan idea pelumba Formula One (F1) Malaysia, Alex Yoong yang juga pengasas Axle Motorsport, objektif utama kejohanan itu ialah merealisasikan impian pelumba maya itu untuk menjadi pelumba sebenar. Alex Yoong pengasas Axle Motosport. “Kita akan menyaksikan lima pemenang pada final tetapi hanya juara akan mendapat peluang untuk beraksi pada F4 SEA race. Selepas Malaysia, persinggahan seterusnya ialah Filipina diikuti oleh Indonesia, Singapura, Thailand, Kemboja dan Vietnam. "Juara atau dua pemenang teratas setiap negara akan mewakili negara pada final untuk menempah tiket untuk pemanduan sepanjang musim dalam siri perlumbaan yang akan diumumkan kemudian," kata pengarah pemasaran dan promosi Axle Motorsport, Belinda Xavier kepada Bernama. Sementara itu, salah seorang finalis, Low Wooi Kit, 28, yang menyimpan cita-cita untuk menjadi pelumba, mengintai slot F4 SEA dengan melakar kemenangan. "Impian saya adalah untuk menjadi pelumba sebenar, tetapi tidak dapat mencapainya kerana halangan kewangan. Selepas ini, saya akan menjalani latihan keras untuk memenangi kejohanan dalam beberapa minggu akan datang, " kata jurutera kelahiran Pulau Pinang itu.