suria

Ronaldo Terlepas Penalti, Portugal Seri Lagi

BINTANG Portugal Cristiano Ronaldo gagal menyempurnakan sepakan penalti sekali gus menyaksikan pasukan itu mencatatkan keputusan seri kedua berturut-turut pada Euro 2016 selepas terikat seri 0-0 dengan pencabar Kumpulan F, Austria di Parc des Princes, awal pagi Ahad.

Ia sepatutnya menjadi detik paling indah buat Ronaldo untuk merakamkan rekod baharu tetapi sebaliknya berlakua apabila sepakannya terkena palang.

Malah Ronaldo turut terlepas beberapa peluang keemasan di depan gol selain tandukannya dibatalkan kerana ofsaid.

Keputusan seri itu menyaksikan Portugal masih belum mencatatkan sebarang kemenangan pada Euro 2016 dan perlu menundukkan Hungary untuk menempah tiket ke peringkat kalah mati.

Meskipun Austria gagal membolosi gawang Portugal, pasukan pimpinan Marcel Koller itu meraikan keputusan seri itu ibarat satu kemenangan.

Kemenangan ke atas Iceland sudah menjamin tempat Austria ke kelompok 16 pasukan terakhir.

Sementara itu, Pengurus Portugal, Fernando Santos menyifatkan keputusan seri tanpa jaringan itu tidak sepatutnya berlaku dan mahu anak buahnya bangkit menjelang pertemuan dengan Hungary, Khamis ini.

"Ini bukanlah keputusan yang kami mahukan. Ia tidak sepatutnya berlaku dan tidak adil tetapi itulah bola sepak," katanya.

Hungary, yang bangkit mengikat Iceland 1-1, muncul peneraju baharu kumpulan dengan berbaki satu lagi perlawanan.

Santos sekadar membuat satu pertukaran daripada skuad yang terikat 1-1 dengan Iceland, dengan membawa masuk Ricardo Quaresma untuk digandingkan dengan Ronaldo dan Nani.

Sejurus tamat perlawanan, Ronaldo yang berjalan keluar dalam keadaan penuh kekecewaan sempat melayan kerenah seorang peminat yang berjaya melepasi hadangan pengawal keselamatan untuk mengambil gambar dengannya.

Senarai Pemain:

AUSTRIA: Almer; Klein, Hinteregger, Prödl, Fuchs; Baumgartlinger, Ilsanker, Alaba; Harnik, Arnautović, Sabitzer.

PORTUGAL: Patricio; Vierinha, Pepe, R.Carvalho, Guerreiro; Moutinho, Gomes, W.Carvalho; Nani, Quaresma, Ronaldo.


Portugal, Austria, Euro 2016

Artikel Lain