MARSEILLE: Tuan rumah Perancis menempah slot ke final Euro 2016 selepas menewaskan juara dunia, Jerman 2-0 di Stade Velodrome, awal pagi Jumaat. Antoine Griezmann menambah koleksi jaringannya di kejohanan ini kepada enam gol apabila meledak dua gol pada perlawanan separuh akhir itu. Jerman yang menguasai babak pertama permainan dikejutkan dengan penalti minit terakhir sejurus sebelum rehat apabila bola terkena tangan kapten Bastian Schweinsteiger yang turut dilayangkan kad kuning. Griezmann tenang mengambil sepakan penalti untuk menewaskan penjaga gol Jerman, Manuel Neuer pada minit ke-47. Perancis kembali melakukan serangan menembusi benteng Jerman pada minit ke-72 menerusi jaringan Griezmann selepas menolak masuk bola hantaran lintang Paul Pogba yang ditampan Neuer. Perancis akan bertemu Portugal pada aksi final di Stade de Paris awal pagi Isnin ini. Barisan pemain: Jerman: Neuer, Hector, Howedes, Boateng, Kimmich, Can, Schweinsteiger, Kroos, Ozil, Draxler, Muller. Perancis: Lloris, Sagna, Koscielny, Umtiti, Evra, Matuidi, Pogba, Sissoko, Griezmann, Payet, Giroud.