HAMPIR dua tahun peminat bola sepak tempatan jarang melihat kelibat pemain pertahanan negara Muhammad Adib Zainudin selepas menyertai kelab Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada awal 2018. Nama Adib memang tidak asing lagi dalam pasukan kebangsaan sebelum ini memandangkan dia antara pemain pertahanan terbaik negara dalam skuad Harimau Malaya. Malah Adib juga merupakan bekas kapten skuad Bawah 22 tahun negara yang turut membantu skuad Malaysia merangkul pingat perak pada aksi Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur. ARTIKEL BERKAITAN: Glamor! Kenali bintang bola sepak Malaysia kahwin artis, selebriti kekal hingga kini... yang ke-9 bakal ‘join the club’! Berkongsi bersama mStar, Adib mengakui dia rindu untuk menyarung kembali jersi negara. Adib mengahwini Nurhidayu 12 November lalu di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Foto: Instagram Adib Sebelum ini Adib,24, sentiasa dalam radar jurulatih negara ketika beraksi bersama pasukan Felcra sebagai pemain pinjaman dari UiTM FC. “Awal tahun 2018 saya mengikat kontrak dengan pasukan JDT II yang beraksi dalam Liga Perdana. Biasanya tumpuan akan lebih diberi kepada pemain-pemain dalam liga utama (Liga Super). “Saya masih aktif seperti dulu, cuma peluang untuk dipanggil ke pasukan negara tu agak tipis. “Jauh di sudut hati saya, masih mengidam untuk berada dalam skuad negara satu hari nanti,” ujarnya yang kini sudah bergelar suami kepada Nurhidayu Mulia,27, pada 12 November lalu. Adib (kanan) merupakan kapten skuad B-22 tahun negara 2017. Pemain tinggi lampai ini memberitahu, dia mengakhiri zaman bujangnya bersama gadis pilihan yang juga rakannya yang dikenali sejak di bangku sekolah lagi (Sekolah Sukan Bandar Penawar) selepas hampir empat tahun bercinta. “Saya dan dia memang dah lama kenal. Sebelum ini sebagai kawan sahaja. Namun beberapa tahun lalu perasaan cinta itu berputik dan kami mengambil keputusan untuk berkahwin. “Bagi saya, Ayu seorang yang memahami karier saya memandangkan dia juga seorang bekas atlet. Selepas bersara sebagai pemain judo, dia menyambung pengajian dan kini bertugas sebagai guru di Mersing, Johor. “Perkahwinan merupakan fasa baharu dalam hidup saya untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami. Adib masih berbaki kontrak setahun bersama JDT II. Foto: Instagram Adib. “Pun begitu minat dalam bola sepak tidak pernah padam dan akan terus bekerja keras untuk buktikan yang terbaik,” katanya. Tambah Adib, dia memang ada niat untuk mencuba nasib dengan pasukan lain jika ada tawaran lebih baik. “Saya masih mempunyai baki kontrak setahun dengan JDT II. Selepas itu, barulah saya akan fikir secara serius mengenai masa depan karier ini. Kalau ada yang lebih baik, apa salahnya untuk mencuba. “Sasaran utama saya selepas ini untuk cuba kembali menyertai skuad kebangsaan,” katanya. Mengenai majlis perkahwinannya baru-baru ini, Adib bersyukur semuanya berjalan lancar dikelilingi kaum keluarga, saudara dan rakan-rakan. "Cuma ramai rakan-rakan rapat dalam skuad negara tidak dapat hadir kerana sedang beraksi dalam pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia," ujarnya ringkas.