suria

Tiada istilah rehat buat pemain AFFC ini sepanjang PKP - "Bukan tugas jadi cabaran, tapi paling utama masa terhad bersama keluarga"

Sharzizi Azmi
1 / 2
Sharzizi dan isterinya bertugas membantu negara sepanjang PKP ini.
2 / 2

DIKALA pemain lain kekal bersama keluarga di rumah, ada yang perlu berkorban masa demi berkhidmat untuk negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19.

Tugas itu dipikul pemain pertahanan pasukan Liga M3, Armed Forces FC (AFFC), Sharzizi Azmi dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menjadi salah seorang anggota yang bertanggungjawab membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh PKP di sekitar Kuala Lumpur.

Paling mencabar buat pemain berusia 35 tahun itu bukanlah daripada segi tugas, tetapi memikirkan masa bersama keluarga apabila isterinya, Jasmalinda Mohamed juga antara barisan hadapan negara yang bertugas sebagai jururawat.

ARTIKEL BERKAITAN: PKP bawa Hariz layan kerenah awam semasa roadblock perangi Covid-19... lupakan seketika aksi di padang

Masa terhad

"Sudah pasti, ia satu cabaran yang berat buat saya sebagai ketua keluarga kerana masa yang ada bersama anak-anak begitu terhad memandangkan isteri juga sedang berjuang untuk rakyat Malaysia di Hospital Ampang.

“Isteri saya juga jarang berada di rumah, jadi masa yang ada antara kami sekeluarga memang tidak banyak.



Sharzizi (kiri) bersama rakan setugas.

“Tetapi tugas harus dilaksanakan dan kami berdua memahami tanggungjawab masing-masing untuk rakyat Malaysia bagi mengatasi wabak ini.

“Setakat ini, anggota tentera yang bertugas tiada masalah dalam membantu pihak PDRM dan tiada lagi isu-isu terlampau besar membabitkan orang awam yang perlu kita ambil tindakan berat.

“Cuma, tahap kedegilan tu masih ada dan baik PDRM dan kami sendiri perlu bertegas untuk mereka semua ini tidak keluar rumah sesuka hati,” jelasnya yang mempunyai tiga orang anak.

Rindu aksi di padang

Sudah pasti, Sharzizi bersama rakan sepasukan lain rindu untuk beraksi di padang apatah lagi AFFC ketika ini memulakan saingan dengan baik untuk berada di tangga kedua liga selepas dua perlawanan.

Justeru, dia enggan pencapaian yang diraih terhenti setakat itu sahaja dan mengharapkan agar semua pihak dapat bekerjasama dalam usaha menangani wabak Covid-19 ini.



Sharzizi (kanan) bersama rakan sepasukan menjalani latihan sebelum PKP.

“Kalau kita sama-sama terus kuat lawan wabak ini, saya percaya semuanya akan pulih dengan segera dan semua pasukan dapat kembali beraksi.

“Sekarang pun kami di tangga kedua, jadi ia tidak patahkan semangat kami untuk terus beraksi cemerlang selepas ini, cuma yang penting sekarang adalah kesihatan dan keselamatan semua orang,” katanya.

Kuala Lumpur Rovers kekal di tangga teratas liga amatur Liga M3 dengan perbezaan dua mata untuk meletakkan AFFC di tempat kedua manakala Langkawi City FC di kedudukan ketiga.

Semua saingan domestik ditangguhkan oleh Malaysian Football League (MFL) sejak 16 Mac lalu akibat wabak Covid-19 termasuk Liga M3 dibawah kelolaan Amateur Football League (AFL).

AFFC, TLDM, PKP, Liga Malaysia

Artikel Lain