TUAN rumah temasya Sukan Olimpik 2024, Perancis bakal melaksanakan perancangan serampang dua mata untuk penganjuran acara sukan bertaraf dunia itu dengan memecahkan dua pelan penganjuran. Ia dinyatakan Presiden Jawatankuasa Penganjur Olimpik Paris 2024, Tony Estanguet yang memaklumkan bahawa pihaknya akan memastikan Olimpik 2024 dapat dilaksanakan secara gilang-gemilang, namun masih merujuk kepada penganjuran di Tokyo sebagai pelan B sekiranya pandemik Covid-19 masih berlarutan, lapor New York Times. Estanguet berkata, setakat ini persediaan untuk penganjuran Olimpik 2024 sudah mencapai 95 peratus. Dengan bajet kira-kira AS$ 8.8 bilion (RM 37.1 bilion), pihaknya akan memastikan penganjuran acara sukan itu dapat dilaksanakan dengan lancar sejak hari pertama temasya sehingga tirai Olimpik dilabuhkan. "Kita belum tahu bila saatnya pandemik akan berakhir, tetapi perancangan akan tetap diteruskan dengan mengambil kira sebarang senario yang akan berlaku pada saat Olimpik 2024 dianjurkan kelak. "Pegawai sukan kami akan terus berada di Tokyo selepas Olimpik 2020 tamat bagi membincangkan beberapa perkara dan mendapatkan rujukan untuk kami aplikasikan dalam penganjuran sukan dunia itu di Perancis nanti," katanya. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] Tambah Estanguet lagi, pihaknya akan melihat dua kemungkinan penganjuran Olimpik 2024 sama ada dapat dilaksanakan seperti biasa atau masih dalam keadaan pandemik. Jelasnya, dia berharap agar pandemik Covid-19 menjadi sejarah pada saat Olimpik 2024 berlangsung kelak dan kegemilangan acara sukan itu dapat kembali diraikan oleh semua peminat secara langsung di dalam stadium. Dia juga bersedia dengan perancangan untuk menganjurkan Olimpik dengan cara Tokyo sekiranya pandemik masih berlarutan. "Kami boleh mengatakan bahawa setakat ini perancangan Olimpik 2024 masih berjalan lancar dan pihak kami sedang melaksanakan pelbagai penambah baikan kepada semua fasiliti untuk memastikan Perancis bersedia menerima kunjungan atlet menjelang hari temasya. "Perancis juga sudah mencapai sasaran penajaan dan bajet yang diperuntukkan setakat ini juga mencukupi untuk memberikan yang terbaik ketika temasya sukan Olimpik 2024 berlangsung," ujarnya. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!