suria

ISN Sediakan Pusat Pengurusan Prestasi Tinggi Di Penginapan Atlet

KUALA LUMPUR: Atas dasar menyahut cabaran merealisasikan impian rakyat negara ini untuk melihat Malaysia bergelar juara Sukan SEA ke-29 Ogos ini,  Institut Sukan Negara (ISN) menyediakan Pusat Pengurusan Prestasi Tinggi di setiap venue penginapan atlet kebangsaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Dr Mohd Khairi Zawi berkata berdasarkan pengalaman ISN di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil, beliau melihat negara-negara maju menjadikan sains sukan antara teras utama dalam kejayaan atlet mereka.

"ISN cuba mengambil pendekatan itu dengan menyediakan pusat prestasi tinggi. Itu semua memberikan pengalaman baharu bagi kita.

"Kami cuba adaptasi tahap perkhidmatan tersebut untuk Sukan SEA kali ini yang pada setiap venue penginapan terutama di Hotel Renaissance Kuala Lumpur (hotel penginapan rasmi kontinjen Malaysia), kami akan menyediakan sebuah pusat pengurusan prestasi tinggi," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Khairi menjelaskan pusat pengurusan prestasi tinggi itu menyediakan khidmat nasihat dari segi pengambilan nutrisi selain menjadi tempat untuk para atlet mengembalikan kecergasan, khidmat fisiologi dan psikologi serta tidak ketinggalan sebagai pusat bagi proses pemulihan.

"Kami sediakan pusat berkenaan di semua venue penginapan yang melibatkan atlet negara dan mereka (atlet) boleh mendapatkan khidmat itu 24 jam sehari sepanjang Sukan SEA berlangsung. Di situ akan ada pegawai yang bersiap sedia sekiranya khidmat mereka diperlukan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khairi menerangkan aspek pemakanan atlet telah dititikberatkan sejak pengenalan 'Program Kita Juara' lagi dan ia mengikut keperluan sukan masing-masing seperti yang dirancangkan.

"Pada fasa terakhir ini, kami masih mengekalkan pelan pemakanan sebelum ini, cuma ketika fasa pertandingan nanti akan ada perubahan seperti regim pemakanan prapertandingan, ketika pertandingan dan pascapertandingan.

"Bagi sukan-sukan yang sensitif dengan berat badan seperti tinju, angkat berat dan sukan tempur, kami akan pastikan mereka ini mengekalkan berat badan ideal mereka," katanya.

Mohd Khairi berkata pada fasa pertandingan nanti, pemakanan atlet akan berubah dan bakal disediakan mengikut jadual pertandingan atlet itu sendiri.

"Misalnya jika seseorang atlet itu dijadual bertanding pada pukul 10 pagi, jadi makan utamanya perlu dimakan pada masa tertentu dengan menu tertentu kerana pada waktu pagi kitaran hormon adalah berbeza.

"Kalau pertandingan pada waktu malam pula, makanan buat seseorang atlet itu juga akan berbeza. Ini saya kategorikan sebagai perkhidmatan taraf podium walaupun mereka bukan atlet di bawah Program Podium," katanya yang jelas menggunakan segala kepakaran yang ada demi menjulang nama negara di persada antarabangsa. - BERNAMA

ISN, Sukan SEA

Artikel Sebelum

Jun Hoong Masih Tak Percaya

Artikel Berikut

Prem Kumar Idam Emas

Artikel Lain