PETALING JAYA: Amy Kwan Dict Weng berazam mahu memberikan persembahan terbaik pada penampilan sulungnya di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017). Dua tahun lalu, atlet gimnastik berirama (gimrama) terpaksa melepaskan peluang bertanding berikutan masalah kecederaan. Pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland memberitahu, tahap keyakinannya untuk beraksi semakin memuncak dan bersedia untuk menggalas cabaran negara pada temasya dwi tahunan yang akan berlangsung pada 19-30 Ogos ini. Lebih membuatkan atlet berusia 22 tahun ini teruja untuk beraksi apabila bakal mempamerkan gerak gerinya di hadapan penonton sendiri. "Saya terpaksa berehat panjang selepas melalui dua pembedahan pada September dan November 2014 sejurus pulang dari Glasgow sehingga tidak dapat kembali ke tahap kecergasan terbaik, seterusnya gagal menempatkan diri dalam senarai akhir pasukan. "Kini, saya sudah bersedia untuk menghadapi cabaran di Sukan SEA . Saya hanya mahu berikan persembahan terbaik untuk membanggakan seluruh rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Biarpun bersemangat untuk membantu negara meraih juara keseluruhan, Amy tetap mengakui tekanan tetap dirasai. "Tak dinafikan walaupun saya teruja namun ada sedikit perasaan gementar dan berharap semuanya akan berjalan lancar dengan sokongan semua pihak," tambah atlet kelahiran Selangor ini. Sebagai rekod, pasukan gimrama berjaya meraih dua pingat emas dan satu perak pada Sukan SEA 2015 di Singapura.