KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mengambil mudah keluhan yang disuarakan oleh pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei tentang tekanan yang perlu dihadapi pemain muda perseorangan wanita, Goh Jin Wei. Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengakui beliau bersimpati dengan Jin Wei yang umurnya baharu 17 tahun, tetapi berdepan tekanan dan jadual padat sehingga menyebabkan pemain muda itu mengalami kecederaan. Perkembangan tentang tahap kecederaan Jin Wei sekali gus, membangkitkan persoalan sama ada dia cergas untuk bermain pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada bulan depan. Pada Rabu, Chong Wei mengulas mengenai Jin Wei yang mengalami kecederaan kerana 'terlebih bekerja'. "Pertamanya saya ambil maklum apa yang disuarakan oleh Datuk Lee bahawa beliau melihat Jin wei 'overwork'. "Dia (Jin Wei) juga merupakan pelajar sekolah. Apabila kita bekerjasama dengan MOE (Kementerian Pendidikan Malaysia), salah satu daripada perbincangan adalah memperkuatkan pasukan junior. Dan sudah tentu MOE minta Jin Wei mewakil Malaysia. "Di samping itu di peringkat senior kita tidak pemain harapan lain yang menyebabkan Jin turut mewakili negara bagi pasukan senior. Jadi di sini dia ada dua tanggung jawab," jelasnya kepada media pada Khamis. Bagaimanapun Mohamad Norza memberitahu bahawa Jin Wei perlu menghadapi tekanan dengan baik untuk menjadi pemain nombor satu negara. "Seperti yang saya cakap sebelum ini, banyak dugaan dan cabaran yang dia perlu atasi. "Dan sebab itu saya sudah berbincang dengan pasukan Program Podium bagi melihat keupayaan Jin Wei secara keseluruhannya, termasuk ketahanan mental. "Sebab dia baharu 17 tahun. Sangat kasihan jika pada usia ini jika tidak dijaga dengan baik dan rasa terbeban, kemungkinan suatu hari nanti dia akan berputus asa. "Namun dia harus tahu bahawa untuk menjadi pemain nombor satu negara, tekanan seperti ini pasti akan datang," tambah Mohamad Norza. Jelas Mohamad Norza, status tahap kecederaan Jin Wei akan diketahui secepat mungkin sama boleh atau tidak beraksi untuk KL2017. "Hari ini dia telah dirujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN) juga bersama pakar psikologi Rebecca Wong. "Jika dia dibenarkan bermain, amat bagus untuk kita, tetapi jika tidak sudah pasti pihak ada pengganti pemain lain," ujarnya. Juara remaja dunia 2015 itu mengalami kecederaan buku lali kiri ketika beraksi pada saingan separuh akhir Kejuaraan Remaja Asia di Indonesia Selasa lalu. Kecederaan itu berlaku ketika dia beraksi menentang Gregoria Mariska dan terpaksa menarik diri.