suria

Velodrom: 500 Anggota Polis Bertugas Di Nilai

NILAI: Lima ratus anggota polis akan ditugaskan di Velodrom Nasional, hotel penginapan atlet, trek BMX dan laluan acara berbasikal bagi kategori lebuh raya sepanjang temasya Sukan SEA 2017 (KL 2017) bagi tujuan keselamatan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata selain itu, polis akan turut menempatkan mesin pengimbas di pintu masuk velodrom dan hotel penginapan atlet.

"Hari ini saya diberi taklimat oleh Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin mengenai persiapan yang telah diatur dan saya amat berpuas hati dengan persiapan-persiapan keselamatan yang dibuat di venue-venue terlibat," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan keselamatan di Velodrom Nasional. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Muhamad Zaki Harun.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata polis turut akan menempatkan dua balai polis bergerak, selain menempatkan anggota di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) bagi membantu melicinkan aliran trafik.

"Seperti kita sedia maklum, kedudukan velodrom ini adalah berhampiran dengan lebuh raya PLUS dan kita tak mahu orang ramai berhenti di bahu jalan menonton acara BMX yang dibuat di luar velodrom yang boleh mengundang bahaya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memberikan kerjasama dan mematuhi arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

KL2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Rumah Terry Dirompak

Artikel Lain