suria

Ju Pha Enggan Kempunan Lagi

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal wanita negara Ju Pha Som Net kini berada dalam momentum yang baik untuk merealisasikan impian meraih pingat emas di Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Ju Pha pada awalnya mengakui agak 'bimbang' mengenai persediaan menghadapi temasya dwitahunan itu ekoran berehat panjang kerana mengikuti latihan rekrut Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama enam bulan bermula Oktober tahun lepas.

Namun, selepas prestasi memberangsangkan di dua kejohanan di Taiwan dan Jepun, masing-masing pada Jun dan Julai, atlet kelahiran Perlis itu yakin mampu menjadi penyumbang satu daripada 13 emas yang disasarkan dalam acara berbasikal.

"Selepas tamat kursus, saya terus menjalani latihan di Melbourne selama sebulan dan menyertai Kejohanan Piala Asia di Taiwan (Jun) dan Piala Jepun (Julai). Pencapaian di dua kejohanan itu agak baik dan saya yakin dapatkan tingkatkan momentum pada Sukan SEA kali ini.

"Saya target untuk menang emas acara omnium (trek). Tekanan itu tetap ada terutama daripada pencabar Thailand dan Vietnam dan ditambah pula beraksi di tempat sendiri," katanya ketika ditemui di kem fasa akhir kontinjen negara ke Sukan SEA di Hotel Renaissance di sini, Ahad.

Selain acara trek, atlet berusia 23 tahun itu juga menjadi sandaran skuad berbasikal negara untuk menghadiahkan pingat dalam acara Kriterium dan Lebuhraya lepas beramai-ramai wanita.

Pada edisi 2015 di Singapura, Ju Pha meraih pingat gangsa dalam acara Kriterium Wanita manakala dalam acara lepas beramai-ramai, beliau gagal menamatkan perlumbaan ekoran terlibat dalam pelanggaran.

"Pada edisi kali ini, kalau dapat naik podium untuk acara lebuh raya itu satu bonus sebab kita tahu Thailand dan Vietnam mereka merupakan pelumba yang menang di Sukan Asia.

"Cuma saya harap, taktikal kali ini tidak silap dan saya tidak lagi terlibat dalam kemalangan, mungkin boleh naik podium dan itu akan jadi bonus untuk saya dan pasukan," katanya.

Ditanya mengenai persiapan bagi menghadapi temasya yang tinggal 13 hari lagi, Ju Pha berkata beliau kini menjalani latihan ringan dan memastikan diri tidak terlibat dalam kecederaan.

"Untuk persiapan diri, saya semua sudah sedia dan apa yang penting untuk pastikan jaga diri dan kesihatan, di samping menjalani latihan ringan sahaja," katanya.

Selain Ju Pha, turut dalam senarai pelumba wanita ialah Grace Phang, Nur Aisyah Mohamad Zubir, Sharifah Nur Ilyana Syed Zulkifli, Nurul Suhada Zainal, Nurul Alissa Mohd Azman dan Nur Azrenna Ahmad Jumry.

Sementara itu, pengurus skuad berbasikal Omar Saad berkata pada fasa akhir ini, skuad berbasikal negara mahu memastikan semua pelumba berada dalam keadaan yang baik.

"Kita mahu semua atlet sihat menjelang Sukan SEA. Kita juga akan cuba capai sasaran 13 pingat emas yang ditetapkan kepada kita," katanya. - BERNAMA

Ju Pha Som Net, basikal

Artikel Sebelum

Artikel Lain