KUALA LUMPUR: Myanmar memulakan saingan bola sepak temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dengan langkah kanan selepas menewaskan Singapura 2-0 pada aksi sulung kumpulan A pada Isnin. Penyerang Aung Thu muncul wira skuad The White Angels apabila menyumbat dua gol penting untuk membantu Myanmar mencatat kemenangan pertama kumpulan. Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), kehadiran lebih 2,000 penyokong ternyata membakar semangat Myanmar yang mempamerkan aksi garang sebaik permainan bermula. Hujan yang mula turun di akhir babak separuh masa pertama seperti memberi tuah kepada Myanmar apabila rembatan Aung Thu yang tidak dikawal berjaya meletakkan Myanmar di hadapan pada minit ke-45. Bersambung babak kedua, Singapura yang dibimbing Richard Francis Emile Tardy mula mempamerkan aksi bertenaga bagi memburu gol penyamaan. Namun jaringan Aung Thu pada minit ke-62 memastikan Myanmar membawa pulang tiga mata berharga. - BERNAMA