KUALA LUMPUR: Penyerang Bawah 22 (B-22) negara, N. Thanabalan kini mengintai slot kesebelasan utama selepas menjaringkan gol kemenangan Malaysia ketika menumpaskan Singapura 2-1 pada perlawanan kedua bola sepak lelaki Kumpulan A Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Stadium Shah Alam, malam Rabu. Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, pemain Felcra FC berusia 22 tahun itu menyifatkan kecergasannya sudah berada pada tahap terbaik selepas pulih dari kecederaan dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab membantu jentera serangan negara pada aksi seterusnya. Beliau yang menjadi watak utama dalam kejayaan Malaysia layak ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018 sebelum ini terpaksa disisihkan pada aksi sulung KL2017 menentang Brunei selepas mengalami kecederaan lutut kanan sewaktu menjalani latihan bersama skuad negara. “Kecederaan saya sudah pulih sepenuhnya. Saya dapat beraksi tanpa merasa sebarang kesakitan dan saya berharap dapat diturunkan dalam kesebelasan utama bagi membantu pasukan pada perlawanan seterusnya. “Saya harus berterima kasih kepada jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) kerana memberi kepercayaan untuk menurunkan saya dan saya gembira dapat membantu pasukan memenangi perlawanan. Gol saya merupakan satu bonus,” katanya. Thanabalan turut memuji rakan sepasukan yang berjaya menjelmakan corak permainan lebih agresif dalam separuh masa kedua permainan yang membawa kepada jaringannya di minit ke-74. “Ia merupakan satu ‘kebangkitan' yang baik apabila kami berjaya mempamerkan permainan lebih matang dalam separuh masa kedua untuk memenangi perlawanan, namun kita masih ada dua perlawanan penting dan perlu lebih berkerja keras selepas ini,” tambah beliau. Dalam pada itu, Muhamad Nor Azam Abdul Azih berkata jaringan penyamaannya pada minit ke-68 semalam ternyata memberi satu motivasi dan semangat untuk terus mempamerkan persembahan berkualiti jika diberi peluang dalam kesebelasan utama. “Jaringan saya itu memberikan saya motivasi untuk beraksi lebih baik di atas padang dan sekiranya diberikan peluang selepas ini, saya pasti akan terus buat yang terbaik,” katanya. -Bernama