suria

Pingat Emas Satu Kepuasan - Duet Renang Berirama

Atlet Renang Berirama Negara Gan Hua Wei (kiri) dan Lee Yhing Huey (kanan).

KUALA LUMPUR: Ia adalah satu kepuasan bagi pasangan renang berirama Malaysia, Zylane Lee Yhing Huey dan Gan Hua Wei memenangi pingat emas pertama mereka selepas digandingkan dalam temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Zylane, 25, dan Hua Wei, 18, mula digandingkan 18 bulan lalu, selepas pasangan Zylane, Katrina Ann Hadi bersara pada hujung 2015.

"Satu kepuasan. Sebab kami memang layak meraih pingat emas dan akhirnya ia dalam genggaman kami. Ia adalah suatu yang menggembirakan sebab susah payah kami membuahkan hasil,” kata Zylane.

Pada acara tersebut, kedua-dua pasangan Malaysia Zylane dan Hua Wei berjaya menghiburkan orang ramai dengan membuat penampilan bergaya, melalui pergerakan kaki yang menarik mengikuti alunan muzik satu daripada tema permainan dalam talian, sebelum kaki mereka mencecah air.

Tetapi sebaik mereka berada di dalam air, Zylane dan Hua Wei, berubah menjadi pahlawan yang tangkas beraksi, berpusing, meluncur dan mempamerkan aksi bertenaga bagi meraih pingat emas dalam rutin duet teknikal acara renang berirama KL2017 di Pusat Akuatik Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur, pada Ahad.

Atlet Malaysia menang dengan skor keseluruhan 76.3333 mata, mendahului pasangan Singapura, Miya Yong Hsing dan Debbie Soh Li Fei, yang mengumpulkan 76.2333 mata.

"Sebelum acara itu bermula, kami telah melihat semula apa yang perlu kami tekankan iaitu dari segi tempoh muzik dan kesalahan kecil yang lain.

“Jadi kami beri lebih tumpuan kepada bahagian itu,” kata Hua Wei.Sementara itu, jurulatih renang berirama negara, Long Yan berkata Zylane dan Hua Wei memiliki kelebihan masing-masing dan saling melengkapi.

“Sebab itu mereka boleh bekerja bersama-sama dengan cepat. Saya gembira menyaksikan persembahan mereka yang melebihi jangkaan saya,” kata jurulatih yang berasal dari China itu.- Bernama

Renang Berirama, KL2017

Artikel Berikut

Schooling Jadi Tumpuan

Artikel Lain