suria

Pemain Ke-12 Bantu B22 Ke Separuh Akhir

Penyerang negara, N. Thanabalan (dua, kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada aksi Bola Sepak Kumpulan A bertemu Myanmar sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Shah Alam, Isnin. Malaysia menang 3-1. -fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Sorakan padu kira-kira 70,000 penyokong Malaysia ternyata tidak disia-siakan oleh skuad negara Bawah 22 Tahun (B22) apabila menjadi pembakar semangat untuk menjinakkan Myanmar dengan kemenangan bergaya 3-1 pada Isnin, sekali gus mengesahkan tiket separuh akhir Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Misi untuk mengungguli Kumpulan A juga semakin hampir selepas anak buah Datuk Ong Kim Swee mencatat kemenangan ketiga untuk berkongsi sembilan mata dengan Myanmar.

Kim Swee hanya menukar tiga pemain iaitu Muhammad Nor Azam Abdul Aziz, Thanabalan Nadarajah dan Muhammad Syazwan Andik Mohd Shah berbanding tujuh pertukaran yang dilakukan pada aksi menentang Singapura pada 16 Ogos lalu.

Thanabalan tampak gugup pada awal permainan dengan kesilapan mudah tetapi kecacatan itu diimbangi dengan aksi bertenaga Nor Azam yang lebih banyak menguasai bahagian tengah.

Tetapi rata-rata pemain Myanmar dilihat sukar mengatur gerakan kemas di bawah tekanan tinggi sorakan tanpa henti penyokong Malaysia yang memenuhi Stadium Shah Alam.

Peluang pertama negara hadir pada minit ke-27 menerusi sepakan percuma kira-kira 20 meter dari pintu gol Myanmar tetapi sepakan Adam Nur Jazlin sekadar singgah di tiang ketika penjaga gol lawan, Sann Sat Naing sudah tertewas.

Corak permainan tekanan tinggi yang ditampilkan oleh skuad B22 ternyata berhasil apabila gerakan Myanmar mudah dipatahkan di kawasan mereka sendiri.

Hasilnya, gol pertama menjelma selepas 33 minit perlawanan apabila Thanabalan berjaya menebus kesilapan awal permainan dengan mudah menolak masuk tandukan Matthew Thomas Davies yang menerima hantaran lintang Muhammad Safawi Rasid.

Selang dua minit kemudian, Malaysia menggandakan kelebihan, juga hasil taktik tekanan tinggi yang mengucar-kacirkan pertahanan Myanmar.

Kali ini, Safawi mencetak nama sebagai penjaring apabila mudah menanduk masuk hantaran lintang Kumaahran Sathasivam.

Myanmar cuba bangkit pada minit ke-40 tetapi percubaan penyerang berbisa mereka, Aung Thu mudah diselamatkan penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli.

Kelebihan dua gol memberi bekalan selesa buat skuad B22 pada babak kedua dan hampir menambah gol ketiga menerusi Matthew Davies pada minit ke-47 tetapi tandukannya diselamatkan Sat Naing.

Bagaimanapun rentak Malaysia mula perlahan apabila Kim Swee mengeluarkan Nor Azam yang digantikan dengan Muhammad Daniel Norhisham.

Tetapi percaturan itu tidak menghalang skuad Harimau Malaysia memburu gol dan nyaris mencatat gol ketiga pada minit ke-61 hasil percubaan Safawi dan Kumaahran.

Persembahan kapten pasukan, Muhammad Adib Zainuddin juga harus diberi pujian kerana banyak mematahkan gerakan Aung Thu.

Malaysia menambah derita Myanmar pada minit ke-81 apabila Thanabalan sekali lagi menggegarkan jaring lawan apabila bijak mencari ruang untuk menanduk masuk hantaran pemain gantian, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew.

Namun Malaysia gagal untuk mengelakkan gawang gol untuk dibolosi apabila kesilapan bahagian pertahanan dihukum pada minit ke-87 menerusi pemain gantian,Thain Paing yang menerima lorongan kapten Myanmar, Si Thu Aung.

Pasukan lawan cuba memburu gol kedua dengan melancarkan serangan bertali arus bagi merapatkan jurang tetapi keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Malaysia hanya perlu mencatat keputusan seri pada perlawnan terakhir menentang Laos pada 23 Ogos untuk menjuarai Kumpulan A, sekali gus mengelak bertemu juara Kumpulan B.

Perebutan slot separuh akhir Kumpulan B masih terbuka luas kepada Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Perlawanan separuh akhir akan berlangsung pada 26 Ogos ini.

B22, separuh akhir, KL2017

Artikel Berikut

Artikel Lain