KUALA LUMPUR: Punca keracunan makanan yang dialami atlet negara sehingga kini masih belum dikenal pasti. Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo memberitahu sehingga kini jumlah yang mengalami masalah tersebut seramai 23 orang berbanding dua hari lalu, 16 atlet. "Sehingga kini Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc) bersama Jawatankuasa Makanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Kementerian Kesihatan memantau lebih rapi mengenai penyediaan makanan atlet-atlet yang berada di hotel penginapan kontinjen negara. "Kami masih belum menerima laporan punca keracunan makanan berlaku memandangkan hanya jumlah kecil yang terlibat berbanding lebih 1,000 orang yang menginap di hotel ini. "Demi privasi atlet-atlet kami tidak mendedahkan nama atlet terlibat, namun mereka terdiri daripada tujuh acara termasuk renang, petanque, tenis dan gimnastik," ujarnya kepada media pada Jumaat. Menurut, Beng Choo ada juga atlet yang membeli makanan dari luar hotel. "Kami belum kenal pasti apa sebenarnya berlaku. Bagaimanapun jawatankuasa Masoc sentiasa mengingatkan semua pengurus supaya mengambil perhatian mengenai perkara itu," jelasnya. Rabu lalu, dilaporkan seramai 16 atlet mengalami masalah keracunan makanan termasuk seorang atlet renang yang terpaksa menarik diri daripada satu acara yang disertainya.