suria

Kuartet 4x100 Pecah Rekod Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Dua rekod baharu kebangsaan dicatat dalam aksi 4x100 meter lelaki dan wanita di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.

Kuartet 4x100m lelaki yang menjadi tumpuan menamatkan larian di tempat keempat dengan catatan masa 39.27.

Pelari ketiga, Badrul Hisyam Abdul Manap berkata, pasukannya tidak meletakkan sebarang sasaran dan cuba lakukan yang terbaik.

"Tetapi kami gembira kerana dapat perbaharui rekod kebangsaan 39.62 yang dicatat ketika Terbuka Vietnam baru-baru ini.

"Esok kami ada lagi satu acara 4x400m dan berharap dapat memperbaharui rekod kebangsaan sekali lagi," ujarnya kepada media.

Dalam pada itu, Badrul berkata, Khairul Hafiz Jantan turut hadir ketika sesi latihan dan memberi semangat kepada kuartet negara.

"Dalam sukan memang perkara itu berlaku. Tetapi tetap bersemangat untuk melakukan yang terbaik.

"Terima kasih kepada semua yang menyokong," ujarnya ringkas.

Pingat emas dirangkul pasukan Thailand, diikuti Indonesia (perak), manakala gangsa milik Filipina.

Dalam pada itu, kuartet 4x100m wanita sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan catatan 45.39s sekali gus memecah rekod kebangsaan, walaupun jauh ditinggalkan kuartet Vietnam yang memperbaharui rekod temasya dengan 43.88s.

Zaidatul Husniah Zulkifli selaku pelari keempat kuartet negara  berpuas hati biarpun tidak merangkul sebarang pingat bagi acara ini.

"Memang kami tidak menyasarkan sebarang pingat berdasarkan prestasi negara lain. Tetapi kami sangat berpuas hari kerana dapat memperbaiki masa yang dicatat dua tahun lepas iaitu 45.41s.

"Saya memang berpuas hati. Mungkin dari segi keserasian mereka (kuartet Vietnam) sudah lama," ujar pemegang pingat gangsa acara 200m itu.

4x100

Artikel Sebelum

Ronaldo Ke England?

Artikel Berikut

Artikel Lain