KUALA LUMPUR: Kian optimis mampu mencatatkan pencapaian paling cemerlang dalam temasya Sukan SEA, tuan rumah Malaysia semakin menghampiri sasaran 111 pingat emas dan dilihat mampu melepasi jumlah itu selepas atlet negara terus menunjukkan taring pada Ahad. Menuai 13 lagi emas pada Ahad dengan kilauan tiga emas daripada acara berbasikal, emas berganda acara terjun, gimnastik berirama, boling padang dan pelayaran, jumlah pingat tuan rumah meningkat kepada 96 emas, 64 perak dan 62 gangsa. Ia juga hari yang menyinar buat atlet taekwondo Rozaimi Rozali dan atlet figure skating Julian Yee, masing-masing meraih satu emas. Pencapaian terbaik Malaysia pada temasya dwitahunan itu adalah 111 emas pada edisi 2001 selaku tuan rumah. Kedudukan pungutan pingat menyaksikan perubahan pada Ahad apabila Thailand memintas Vietnam dan Singapura, menduduki tempat kedua, selepas mengumpulkan 53 emas, mengatasi Vietnam dengan perbezaan satu emas. Singapura di tempat keempat dengan 48 pingat diikuti Indonesia 31, Filipina 21, Myanmar tujuh serta Laos dan Kemboja masing-masing satu. Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengucapkan tahniah kepada para pemain Malaysia yang berjaya melayakkan diri ke final menentang Thailand selepas menewaskan Indonesia 1-0 pada perlawanan separuh akhir Bola Sepak Lelaki Sukan SEA ke 29 di Stadium Shah Alam, Sabtu. Penganjur mengumumkan perlawanan bagi merebut ibu segala pingat iaitu acara bola sepak lelaki pada Selasa antara Malaysia dan Thailand akan diadakan di Stadium Shah Alam pada 8.45 malam. Perlawanan penentuan pingat gangsa antara Indonesia dan Myanmar akan berlangsung lebih awal pada 4.30 petang di Stadium Selayang. Juara terjun dunia Cheong Jun Hoong dan Jasmine Lai, yang menggantikan Nur Dhabitah Sabri yang cedera, dengan mudah memenangi pingat emas dan perak dalam 1m papan anjal wanita dan kejayaan sama dicapai dalam 10m platform lelaki dengan Ooi Tze Liang meraih emas, pingat keduanya pada temasya ini dan rakan sepasukan Chew Yi Wei memenangi perak. Seperti dijangka, Malaysia merangkul pingat emas pertama di Velodrom Nasional Nilai yang baharu menerusi pelumba 22 tahun, Irwandie Lakasek, dalam acara scratch lelaki yang mengatasi dua pelumba Thailand, Thurakit Boonratanathanakorn dan Thanawut Sanikwathi. Acara trek berbasikal menawarkan 13 emas. Aksi sebelah petang di velodrom, menyaksikan Malaysia semakin gah apabila pelumba pecut berpasukan lelaki dan wanita menghadiahkan emas untuk kem negara. Lebih manis pasukan lelaki memadamkan rekod kebangsaan 44.725s yang dilakar Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Mohd Rizal Tisin di Beijing pada 2008. Mohamad Shariz Efendi Mohd Sharin, Muhammad Fadhil Mohd Zionis dan Muhammad Khairil Mizam Rasol mencatatkan 44.776s dalam perlumbaan itu, pulih daripada permulaan yang suram dan berjaya membuat kayuhan mantap untuk mendahului Indonesia yang merangkul perak dengan catatan 45.735s. Trio pelumba berbasikal Trek Lelaki Malaysia, (dari kiri) Muhammad Khairil Nizam Rasol, Muhammad Shariz Efendi Mohd Shahrin dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis meraikan kemenangan pingat emas acara Pecut Lelaki Berpasukan. Fatehah Mustafa dan Farina Shawati Mohd Adnan merangkul emas bagi berpasukan wanita dengan catatan 34.671s dan Indonesia meraih tempat kedua dengan catatan 35.211s. Dalam satu lagi acara kategori wanita, Ju Pha Som Net mendapat gangsa acara omnium. Di Langkawi, Malaysia mendominasi kategori International 420 dan International 470 lelaki namun keadaannya berbeza bagi pasukan wanita yang gagal mempertahankan emas International 470 dengan hanya meraih perak dengan emas menjadi milik Singapura. Pelayar remaja Muhammad Uzair Amin Mohd Yusof dan Naquib Eiman Shahrin berjaya mengatasi cabaran dua gandingan Thailand untuk menyumbang emas International 420 buat tuan rumah dengan 13 mata penalti. Bagi kategori International 470 yang dimenangi Singapura dua tahun lepas, Mohammad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz mengumpul 17 mata penalti untuk kilauan emas manakala perak menjadi milik Thailand manakala Filipina terpaksa berpuas hati dengan gangsa. Atlet boling padang mempamerkan kehebatan dengan memenangi tujuh daripada lapan pingat emas untuk Malaysia. Dalam perlawanan acara singles lelaki, Muhammad Soufi Rusli menewaskan Lee Yuan Min daripada Singapura 21-6 dan Emma Firyana Saroji mengatasi atlet Brunei Amaliah Mat Ali 21-12 untuk menjulang gelaran singles wanita buat pertama kalinya untuk Malaysia. Gimnas berirama negara, Koi Sie Yan beraksi dalam disiplin Ribbon Berpasukan Gimnastik Berirama. Pada hari kedua acara gimnastik berirama yang dikatakan memihak kepada tuan rumah susulan kejayaan menjuarai gelaran berkumpulan yang membuka tirai pada Sabtu, gimnas berumur 18 tahun Koi Siew Yan mempertahankan emas acara keseluruhan dan Malaysia turut merangkul emas ketiga dalam acara aparatus tunggal berkumpulan (lima gelung). “Hari ini (Ahad) persembahan saya lebih baik terutama dalam acara gelung dengan mendapat 16.600 mata, ia mata tertinggi yang pernah dicapai oleh saya setakat ini,” kata gimnas daripada Pahang itu yang mendedikasikan kejayaannya itu kepada ibu bapanya bagi pengorbanan mereka dan rakan-rakannya atas sokongan mereka. Atlet figure skating Julian Yee menepati jangkaan dalam membuktikan kehebatannya dalam melaksanakan rutin free skating lelaki untuk emas dengan 205.43 mata dan rakan sepasukan Chew Kai Xiang memenangi gangsa dengan 145.53 mata di belakang atlet Filipina Michael Christian Marti dengan 171.63 mata. Atlet taekwondo negara, Rozaimi turut menghadiahkan emas acara kyorugi bawah 68kg selepas terikat 17-17 dengan peserta Filipina, Arven Alcantara, emas ketiga untuk kem negara dalam sukan tempur itu. Dalam ekuestrian polo, Malaysia meneruskan pemburuan pingat emas apabila bertemu Thailand dalam final pada Khamis manakala Singapura dan Brunei akan berentap bagi pingat gangsa. Esok, 25 pingat emas dipertaruhkan dan Malaysia dijangka terus menuai emas daripada acara terjun dan hari terakhir acara gimnastik berirama manakala emas keempat skusy sudah pasti dalam genggaman selepas pemain negara. Rachel Arnold dan S. Sivasangari bertembung pada final perseorangan wanita. - Bernama