suria

KL2017 Ditutup Penuh Bangga, Meriah

Pertunjukan bunga api pada upacara penutup Sukan SEA ke-29 (KL2017) di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto FAIHAN GHANI

KUALA LUMPUR: Upacara penutup Sukan SEA ke-29 (KL2017) dengan tema 'Bangkit Bersama' ditutup penuh meriah, dalam suasana warna warni di Stadium Nasional Bukit Jalil, Bandar Sukan Kuala Lumpur malam Rabu.

Majlis penutup dimulakan dengan persembahan daripada pasukan pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Turut bersama menunjukkan kemahiran bermain drum, maskot utama KL2017, Rimau.

Suasana penutup malam ini lebih menghiburkan dengan celoteh pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi dan Cheryl Samad serta Naz Rahman.

Antara barisan artis popular tanah air yang membuat persembahan termasuk Ratu Rock negara, Ella yang menyampaikan lagu 'Gemilang', penyanyi kumpulan Alleycat, Datuk David Arumugam, Amy Search, Zainal Abidin, Jaclyn Victor dan beberapa lagi penyanyi terkenal tanah air yang lain.

Upacara kemuncak berlangsung gilang-gemilang ketika perarakan masuk atlet berdasarkan 38 acara sukan yang dipertandingkan pada temasya yang berlangsung 17 hari ini, dimulakan dengan kontinjen negara selaku juara keseluruhan.

Kemeriahan di Stadium Nasional ukit Jalil. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI

Pasukan sukarelawan seramai 20,000 orang turut memberi persembahan dengan membuat formasi tulisan 'WAU'.

Acara-acara itu ialah renang, olahraga, memanah, badminton, bola keranjang, snuker dan biliard, tinju, berbasikal, ekuestrian, bola sepak, futsal, golf, hoki, karate, sepak takraw (chinlone), perahu layar, menembak, ping pong, taekwondo, bola tampar, gimnastik, polo, muay thai, pencak silat, angkat berat dan petanque, hoki dalam dewan, skuasy, perahu layar, bola jaring, boling jaring, memanah, hoki, hoki ais, boling dan luncur ais serta kriket.

Selepas itu majlis dibuka dengan ucapan disampaikan oleh Presiden Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

Majlis diteruskan dengan acara menurunkan bendera rasmi temasya, bendera Persekutuan Sukan Asean (SEAGF) dan bendera Filipina selaku tuan rumah yang diterima oleh Presiden Jawatankuasa Olimpik Filipina, Jose Cojuangco Jr.

Upacara penutup temasya dwi tahunan itu ditutup dengan rasminya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pandangan dari luar Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto S.S.KANESAN

Sebelas kontinjen yang bertanding pada edisi kali ini ialah Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste, Vietnam dan Myanmar.

Ini merupakan kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar yang melibatkan negara Asia Tenggara itu selepas Malaysia 1965,1971,1977,1989 dan 2001.

Kontinjen negara berjumlah 844 orang atlet yang menyertai 38 jenis sukan daripada 404 acara yang dipertandingkan pada edisi kali ini berjaya mengatasi sasaran 111 emas, 92 perak dan 86 gangsa sekali gus menjadi juara keseluruhan edisi ini dengan 323 pingat.

Thailand berada di tempat kedua keseluruhan dengan 246 pingat termasuk 72 pingat emas, 86 perak dan 88 gangsa, manakala Vietnam 58 emas, 50 perak dan 60 pingat gangsa.

Filipina akan menjadi tuan rumah pada edisi ke-30 pada tahun 2019.

Dalam pada itu, kemuncak penutup diserikan lagi dengan sambutan Hari Kemerdekaan yang dilaungkan oleh perdana menteri selepas beliau mengumumkan 'hadiah' istimewa sempena kejayaan cemerlang kontinjen negara serta sokongan berterusan rakyat Malaysia dengan memberi cuti umum pada 4 September ini.


KL2017, majlis penutup penutup

Artikel Sebelum

Rundingan Buat Costa

Artikel Lain