suria

James Sasar Beraksi Di Sukan Komanwel

James Wong meraih pingat emas dengan catatan masa terpantas 01:12:94 sekali gus memecahkan rekod kejohanan. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Nama James Wong bukan nama yang asing bagi peminat sukan renang para negara kerana beliau sudahpun mewakili negara sejak 2009 ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukan Para ASEAN kelima.

Penampilan kelimanya di Sukan Para ASEAN kesembilan di ibu negara kali ini dengan meraih pingat emas acara 100 meter (m) kuak kupu-kupu S8 dan satu gangsa acara 100m kuak dada SB8 telah melonjakkan tekad  James untuk membawa cabaran negara dan beraksi di Sukan Komanwel, Australia, tahun depan.

Beliau yang berkelana ke Australia sejak berumur 18 tahun bagi mendalami dan mempelajari ilmu renang mendapat pulangan lumayan apabila turut berjaya memecahkan rekod acara 100m kuak kupu-kupu Sukan Para ASEAN yang berusia 12 tahun.

Menurut James, 23, hasrat utamanya beraksi di Sukan Para ASEAN kali ini adalah untuk mendapat catatan masa yang baik supaya beliau boleh melayakkan diri secara automatik ke Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast.

"Bagi acara 100m kuak dada, walaupun saya mendapat gangsa, namun catatan masa 1 minit 24.04 saat itu sudah membolehkan saya beraksi di Sukan Komenwel tahun depan.

"Saya sekarang berada di kedudukan keempat ranking kelayakan masa acara 100m kuak dada SB8 untuk ke Sukan Komanwel manakala kedudukan lapan teratas akan layak secara automatik ke sana," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

James berkata selain acara berkenaan, beliau turut memasang impian untuk melayakkan diri ke sukan yang menghimpunkan negara-negara di bawah penjajahan Brirish suatu ketika dulu dalam acara 200m rampaian individu.

"Pada Jumaat nanti saya akan turun beraksi untuk acara 200m rampaian individu dan saya akan berusaha untuk melakukan catatan masa yang baik agar dapat melayakkan diri secara automatik," katanya.

Selepas Sukan Para ASEAN ini, James akan kembali ke Australia bagi meneruskan latihan di South Australia serta beliau juga akan mengikuti kursus bagi mengejar cita-citanya menjadi seorang jurulatih renang profesional.

James juga merupakan pemegang ijazah sarjana muda ekonomi dari Universiti Adelaide, Australia, dan  ketika ini menjadi jurulatih renang sambilan kepada kanak-kanak kurang upaya di sana bagi menampung perbelanjaannya di negara ‘Kanggaru' itu. - BERNAMA

Sukan Komanwel

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Super

Artikel Berikut

Presiden Kafa Mengadap TMJ

Artikel Lain