KUALA LUMPUR: Seorang mekanik motosikal kelainan upaya (OKU), Ma Hussein Mat Noh membuktikan bahawa tiada apa yang mampu dicapai sekiranya seseorang itu berusaha dan bekerja keras untuk mencapai impiannya. Atlet berusia 37 tahun itu membuktikannya selepas mempertahankan pingat perak kategori 80kg lelaki powerlifting Sukan Para ASEAN (APG) KL2017 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, Rabu apabila mengatasi kecederaan bahunya dan kekecewaan kematian bapanya sebulan lalu. Walaupun niatnya untuk menghantar arwah bapanya, Mat Noh Hussain, 77, menunaikan haji selepas APG tidak kesampaian, beliau mahu mendedikasikan kejayaannya kepada bapanya yang meninggal dunia akibat penyakit para-paru. “Saya azam nak dapat emas, tetapi dapat perak pun tak apa kerana mengalami kecederaan. Saya memang berazam untuk hantar arwah menunaikan haji, tapi arwah pergi dulu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah. Pemilik sebuah bengkel motosikal di Bachok, Kelantan itu mengesahkan pingat perak selepas mengangkat bebanan 135kg pada percubaan kedua, namun cubaan angkatan 166kg pada percubaan ketiga untuk mencabar emas tidak berjaya. Pingat emas menjadi milik Kampa Pongtao (165kg) dari Thailand, manakala pingat gangsa tidak dianugerahkan apabila seorang lagi peserta, Poul Sarravann dari Kemboja gagal mengangkat bebanan seberat 60kg dalam ketiga-tiga percubaan. “Sebenarnya saya boleh angkat lebih baik kerana rekod peribadi terbaik ialah 171kg pada Kejohanan Piala Dunia tahun lalu, tetapi kerana berada dalam pemulihan kecederaan, saya ambil langkah selamat. "Selepas mengangkat 135kg, badan saya tidak rasa apa-apa, maka saya yakin untuk angkat 166kg untuk pingat emas, tetapi nasib tidak menyebelahi saya,” katanya. Beliau seterusnya akan beraksi di Kejohanan Dunia di Mexico City bermula 30 September hingga 6 Oktober ini, dalam usaha mencari mata kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020, selepas menamatkan saingan Piala Dunia 2016 di Kuala Lumpur di tempat ke-12 dengan angkatan seberat 171kg. Sementara itu, bekas 'mat rempit' Briyan Junency Gustin, 20, mengalami nasib serupa dengan adiknya Bonnie Bunyan apabila terpaksa berpuas hati di tempat keempat dalam kategori 72kg lelaki, dengan angkatan 147kg. Pingat emas menjadi milik Thongsa Marasri dari Thailand yang mengangkat 173kg, manakala dua peserta dari Vietnam, Nguyen Van Hung (167kg) dan Ma Phuong Quang (164kg) masing-masing meraih perak dan gangsa. Pada Selasa, adiknya Bonnie Bunyan, 18, terpaksa berpuas hati dengan tempat keempat kategori 65kg lelaki selepas mengangkat bebanan seberat 156kg, manakala ayahnya Gustin Jenang meraih gangsa kategori 59kg selepas berjaya mengangkat 120kg. - BERNAMA