suria

Seronoknya Bercuti Sambil Menginap Dalam Bas!

INGIN merasai pengalaman menginap dalam bas terpakai yang diubahsuai dan dihias cantik umpama bilik hotel? Atau ingin bersantai sambil makan minum yang anda dipesan dan disediakan dalam bas terpakai yang berfungsi sebagai dapur?

Jika anda belum pernah merasai suasana percutian seumpama itu dan ingin mencubanya, berkunjunglah ke Pantai Klebang, Melaka. Pasti anda terpegun melibat bagaimana bas-bas lama dikitar semula secara kreatif, bukannya dimusnahkan begitu sahaja.

Hotel daripada bas terpakai yang dikenali sebagai ‘Bustel’, ini terletak di kawasan luas hanya beberapa meter dari  jalan utama Pantai Klebang, serta berhampiran deretan gerai untuk menjamu selesa pelbagai juadah enak di situ.

Mungkin bilik hotel bas terpakai ini tidak sehebat hotel biasa. Namun menginap di situ adalah pengalaman yang sukar dilupakan, khususnya bagi mereka yang suka mencuba sesuatu yang baharu.

Pantai Klebang, terletak kira-kira lapan kilometer dari Bandar Melaka, sememangnya menjadi tumpuan ramai sama ada pelancong dalam dan luar negara untuk bersantai di waktu petang.

Mereka datang bersama keluarga untuk menikmati keindahan suasana pantai. Pemandangan matahari terbenam dengan cahaya kuning kemerah-merahan memang sangat menarik dan indah dipandang, atau diabadikan dalam gambar.

Pada waktu petang biasanya air surut. Pantai yang luas berpasir menjadi tempat pengunjung bermain atau beriadah. Ramai yang bermain layang-layang atau belon air (bubbles).

Selain itu, di kaki lima jalan pula disediakan laluan pejalan kaki yang diturap jubin, malahan ada juga yang berjoging dan berjalan santai sambil menghirup udara segar.

Apabila penat dan ingin berehat, deretan gerai yang menyajikan pelbagai jenis makanan dan minuman sedia menunggu untuk menghilangkan penat sambil menjamu selera.

Suasananya yang redup dan nyaman pada waktu petang, jauh dari hiruk pikuk Kota Melaka, menjelaskan kenapa Pantai Kelebang menjadi tumpuan saban hari, terutama pada hujung minggu atau waktu cuti.

Sesuai dengan kedudukannya sebagai tempat tumpuan, kewujudan Bustel pasti memikat hati pengunjung untuk bermalam di kawasan pantai tersebut. Jika dipandang dari luar mungkin orang ramai tidak tertarik dengan ‘hotel bas’ ini kerana badan bas kelihatan usang.

Namun itulah keistimewaannya. Di sebalik luaran bas yang nampak usang itu, di dalamnya adalah bilik yang cantik dan kemas. Walaupun biliknya bukan seperti bilik hotel mewah, keperluan asas seperti tandas, penghawa dingin dan TV  disediakan.

Harganya juga berpatutan. Pada hari biasa hanya RM90 semalam sementara pada hujung minggu atau hari cuti harganya dalam lingkungan RM130. Golongan muda terutamanya memang sukakan suasana dan pengalaman tidur di hotel bas ini. Malah ia juga menjadi pilihan pengunjung berkeluarga.

Terdapat lebih 15 hotel bas di Pantai Klebang untuk memenuhi keperluan pengunjung. Yang menarik setiap satunya dinamakan sempena tempat-tempat di Melaka seperti Bukit Baru, Bandar Hilir, Alor Gajah, Air Keroh, Batu Berendam, Selandar, Bukit Katil, Sungai Rambai, Jasin dan lain-lain.

Mereka yang menginap di hotel ini bukan sahaja dapat merasai suasana nyaman di siang hari tetapi juga meriah di waktu malam. Lampu-lampu di sekitar kawasan termasuk di gerai jualan menyinari kawasan Pantai Kelebang ini.

Untuk keseronokan pengunjung, disediakan kereta berkuda. Mereka boleh menaikinya sepanjang jalan utama. Kereta kuda ini yang dihiasi dengan lampu memang nampak menarik, ia membawa penumpang menikmati pemandangan sepanjang jalan utama Pantai Kelebang.

Bagi mereka yang menginap di hotel bas ini, atau pengunjung ke Pantai Klebang, makan minum bukan masalah. Gerai-gerai makan sedia memenuhi citarasa anda. Mi, nasi, udang goreng, keropok lekor, kue tiew, otak-otak semua ada. Pastinya masakan popular Melaka iatu asam pedas, turut disajikan.

Bagi minuman pula, selain minuman biasa, ‘coconut shake’ adalah minuman istimewa dijual dan tentunya sering menjadi pilihan ramai pengunjung.

Menariknya, penyediaan makanan dan minuman di sini dilakukan dalam bas terpakai itu, sekali gus pengalaman baharu bagi mereka yang belum pernah melihatnya.

Untuk kemudahan orang ramai pula, turut disediakan tandas awam yang juga dibuat daripada bas terpakai. Pendek kata bas terpakai mendominasi Pantai Klebang ini.

Pastinya, percutian di Melaka akan lebih lengkap dengan kemudahan menarik di Pantai Klebang, selain hidangan menyelerakan untuk pengunjung.

Jadi, apa lagi yang ditunggu. Berkunjunglah ke Pantai Klebang di Melaka yang penuh dengan sejarah ini. Tentunya anda terpikat dengan Bustel.

Artikel Berikut

Artikel Lain