suria

Uniknya Gaya Hidup 'Orang Laut' Di Sabah

PANTAI timur Sabah merupakan tempat yang mempesonakan untuk dilawati.

Selain mempunyai pulau-pulau yang masih asli dan terpelihara, pasir pantai yang putih serta kawasan menyelam yang indah, ia juga mempamerkan budaya dan gaya hidup komunitinya yang unik.

Tidak hairanlah mengapa percutian penulis ke sini langsung tidak membosankan.

Malah, setiap kali meneruskan perjalanan untuk mendokumentasikan budaya dan cara hidup di pulau ini, terutama yang melibatkan masyarakat Bajau, telah membuka mata penulis dan telah memberikan gambaran yang lebih baik terhadap masyarakat pelaut ini.

Kehidupan atau gaya hidup komuniti Bajau Laut atau dikenali sebagai Orang Laut ini 'terikat' dengan lautan.

Mereka 'menginap' di dalam perahu atau pondok kecil yang dibina dengan kayu di atas karang kecil dan jarang-jarang sekali menjejakkan kaki ke tanah.

Jika mereka turun ke darat sekali pun, biasanya hanyalah untuk mendapatkan minuman segar atau mengumpul kayu untuk membina bot atau perahu. Mereka tidak pernah tinggal di darat untuk tempoh yang lama.

Mereka banyak bergantung kepada laut bagi mendapat sumber pendapatan utama, sama seperti yang diamalkan oleh nenek moyang mereka sejak zaman-berzaman.

Orang Bajau Laut berdagang dengan penduduk tempatan untuk meneruskan kehidupan mereka dengan menjual ikan yang ditangkap, karang dan cengkerang yang diambil dari bawah laut dan hasil laut lain.

Hampir semua orang dari komuniti ini hidup tanpa negara, tetapi tetap mempunyai gaya hidup yang agak riang dan ringkas, tanpa memikirkan hari esok atau masa-masa akan datang.

Apa yang benar-benar menarik tentang mereka bukanlah tentang gaya hidup serba ringkas semata-mata, tetapi juga bahasa purba mereka, Sama, yang digunakan dalam percakapan, serta budaya yang mereka amalkan.

Semenangnya orang Bajau Laut layak dipanggil 'Raja Laut'. Mereka mempunyai kelebihan menyelam yang luar biasa dan mampu 'berkeliaran' di perairan Malaysia, Filipina dan Indonesia!

Di Sabah, komuniti ini boleh ditemui di sekitar pulau-pulau Mabul, Bohey Dulang, Sibuan, Maiga, Mantabuan, Selakan dan Omadal.

Semua orang boleh melancong dan melawat pulau-pulau ini untuk melihat sendiri kehidupan mereka.

Anda boleh sampai ke sini melalui Semporna, sebuah bandar tepi pantai yang terletak di hujung semenanjung Semporna di sekitar Teluk Lahad Datu. Terdapat banyak bot untuk membawa pelancong ke pusat peranginan di pulau-pulau di Semporna.

Tidak dapat dinafikan, terdapat beberapa kebimbangan keselamatan apabila melawat pulau-pulau ini, memandangkan beberapa kes penculikan dilaporkan sebelum ini.

Secara umum, ia selamat untuk dilawati kerana anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang membuat rondaan di kawasan ini dan mengenakan perintah berkurung bermula dari waktu senja hingga ke subuh, terus memantau perairan sekitar pulau bagi memastikan keselamatan pelancong.

Perjalanan ke sini juga pastinya berbaloi, terutama kerana ia membolehkan anda melihat dan mempelajari tentang bagaimana masyarakat di sini tinggal jauh dari hiruk-pikuk kehidupan bandar.

Udara bersih dan matahari terbenam yang indah akan membuatkan anda berasa lebih kagum. Anda bebas bersantai dan berbaring atas pasir pantainya yang bersih.

Percutian anda akan lebih bermakna jika anda melakukan aktiviti snorkeling atau menyelam di lautan jernih di sekitar pulau, sekali gus menikmati warna-warni dunia dan kehidupan di bawah permukaan laut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain