suria

Sea Splash Tawar Pelayaran Santai, Privasi Di Langkawi

LANGKAWI sangat terkenal sebagai sebuah pulau bebas cukai dan mempunyai banyak sejarah serta kisah legenda sumpahan Mahsuri.

Turut mempunyai banyak pantai untuk percutian seisi keluarga dan rakan-rakan yang meriangkan, tidak ramai yang tahu bahawa di Langkawi juga anda mampu menikmati percutian santai dan lebih privasi.

Bagi yang ingin mencari kelainan apabila berkunjung ke pulau Mahsuri ini, anda boleh cuba mengambil pakej Living On Board (LOB) yang mana anda dapat belayar sambil menikmati keindahan Langkawi seterusnya bermalam di atas bot pelbagai guna, Sea Splash.

Ketua Pegawai Eksekutif Sea Splash Travel Sdn Bhd, Datuk Seri Mohd Shukri Mohd Nadzir berkata, disebabkan spesifikasi dan fasiliti yang disediakan di atas bot ini tak ubah seperti sebuah kediaman, tetamunya bebas untuk melakukan sebarang aktiviti sepanjang pelayaran.

“Seperti check in di hotel, mereka yang mengambil pakej LOB juga akan check in pada pukul 3 petang sebelum Sea Splash belayar di sekitar perairan Langkawi.

“Sepanjang pelayaran, mereka boleh hanya duduk berehat, berhibur atau bebas melakukan apa sahaja aktiviti sehinggalah tiba waktu check out pada pukul 12 tengahari keesokan harinya,” katanya kepada mStar Online.

Menurut Mohd Shukri, Sea Splash yang sepenuhnya dilengkapi alat pendingin hawa ini turut mempunyai empat bilik tidur, ruang tamu, dapur dan tiga bilik air.

Katanya, antara aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang pelayaran termasuklah memancing, menonton TV, berkaraoke dan barbeku ketika makan malam.

Harga untuk perkhidmatan LOB bagi satu malam adalah RM1,200 dengan had tetamu mininum seramai 10 orang.

Selain itu, Sea Splash yang mula memasuki Langkawi pada 2011 ini juga amat sesuai buat mereka yang mahu melakukan aktiviti bersama pasangan atau melibatkan kumpulan kecil.

Mereka boleh menyewa bot ini untuk melihat keindahan matahari terbenam, untuk melakukan aktiviti air seperti ‘island hopping’, snorkeling, menyelam atau pelayaran ke Thailand seperti pulau Krabi dan Phuket.

Bagi aktiviti melihat matahari terbenam yang mengambil masa lebih kurang tiga jam setengah, tetamu akan mula belayar pada pukul 5 petang dan kemudian berpeluang memberi makan helang sebelum tiba waktu senja, seterusnya dihidangkan dengan daging kambing panggang.

“Kaki pancing juga boleh menggunakan bot ini untuk aktiviti memancing bukan sahaja di sekitar Langkawi, malah kita pernah pergi sehingga ke perairan Myanmar.

“Jangan bimbang kerana Sea Splash mempunyai kelengkapan asas untuk pemancing seperti peti sejuk beku, joran dan banyak lagi,” katanya sambil menambah bot ini mempunyai 12 stesen memancing.

Bagaimanapun katanya, sewaan atau tempahan untuk aktiviti memancing tertakluk kepada musim atau cuaca.

Mohd Shukri berkata, Sea Splash juga amat sesuai digunakan untuk program tertutup seperti hari keluarga, majlis perkahwinan, sambutan hari jadi dan untuk sesi penggambaran.

Beliau menasihatkan orang ramai yang ingin menikmati percutian bersama Sea Splash supaya membuat tempahan lebih awal.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain