SEJAK akhir-akhir ini cuaca memang tidak menentu, sekejap panas, sekejap hujan dan kadang-kadang redup siap 'pakej' angin sepoi-sepoi bahasa. Bila cuaca panas ‘lit lit’ menjelma, sudah tentu tekak yang kering perlu dibasahkan dengan segelas air sejuk yang menyegarkan. Dhia Datang kali ini menerjah gerai air jagung tiga lapis yang sudah tular dan menjadi bualan orang ramai, malahan golongan selebriti pun ibarat sudah terkena 'jampi' selepas mereka pekena air Bak Jagung ini. Nampak tak bukan calang-calang selebriti yang menggemari Bak Jagung ni! Antara pelanggan setianya termasuklah Awal Ashaari, Scha Alyahya, Izara Aishah, Zain Saidin dan Zizan Razak. Awal Ashaari dan Izara Aishah antara selebriti yang menggemari air Bak Jagung. Orang kata kalau nak mula berkenalan dengan makanan atau minuman ni, kena cuba yang asli dulu. Maka Cik Dhia pun pesanlah air jagung 'original' untuk menghilangkan dahaga. Satu hirupan sahaja sudah buat Cik Dhia jatuh cinta dengan Bak Jagung. Patutlah air jagung ini tular sampaikan ada pelanggan yang sanggup berpayung redah hujan demi mendapatkannya. Istimewanya minuman ini, Bak Jagung menggabungkan dua jenis jagung iaitu jagung segar dan jagung krim bagi menambahkan lagi nikmat air jagung sebenar. Selain perisa asli, pelanggan boleh menambah topping mengikut cita rasa masing-masing. Oreo, Nestum dan Cookies (coklat atau biasa) adalah antara pilihan yang ada. Taburan jagung krim dan segar menambah nikmat pada minuman ini. Hanya perlu tambah RM1 untuk topping Cookies dan Nestum ini. Disebabkan tidak puas dengan kesedapan cawan pertama, Cik Dhia pesan lagi satu, kali ini Cik Dhia ambil topping Nestum pula. Wahhh! Jika tadi jatuh cinta pada hirupan pertama, kali ini Cik Dhia rasa bagai ‘dijampi’ kerana tidak sangka air jagung itu serasi bila dipadankan dengan Nestum. Bagi sesiapa yang sudah menikmati Bak Jagung, anda pasti berharap cawangannya dibuka sebelah rumah supaya ia boleh diminum setiap hari. Melampau betul Cik Dhia kan! Tapi jangan bimbang, sebenarnya Bak Jagung ini sudah pun bertapak di beberapa lokasi seperti di Subang Perdana dan Shah Alam di Selangor, Pontian, Johor, Ayer Hitam, Pulau Pinang dan Seremban, Negeri Sembilan. Shukarno sedang meletakkan Nestum ke atas cawan air jagung tiga lapis mengikut kehendak pelanggan. Kalau nak tahu, pengusaha Bak Jagung, Shukarno Malek, 37, mengambil masa tiga bulan ketika dia mula-mula ‘bereksperimen’ dengan sukatan air jagung tiga lapis ini sebelum mula memasarkannya kepada orang ramai. “Sepanjang tempoh itu saya tumpu perhatian untuk dapatkan sukatan yang betul supaya rasanya tidak berubah-ubah. “Saya mula dengan memberi orang ramai minum secara percuma untuk tengok sambutan. Bila dah yakin dengan potensi air jagung tiga lapis ini, barulah saya berani membuka gerai. “Tapi tak sangka pula hari pertama cuma laku tiga cawan. Mungkin pelanggan belum biasa lagi tengok air jagung tiga lapis. “Namun, selepas dua tahun, Bak Jagung semakin dikenali dan kini sudah mencecah jualan sebanyak 100 cawan sehari (cawangan Subang Perdana),” katanya ketika ditemui mStar Online. Dua cawan tak cukup, jadi Cik Dhia pesan daripada Shukarno (kiri) dua cawan lagi untuk dibawa pulang. Bak Jagung sebenarnya mendapat nama sempena nama gelaran ‘bak’ yang dipanggil oleh Shukarno kepada bapanya. Namun kini, dia sendiri menggunakan gelaran itu sebagai penjenamaan kepada Bak Jagung. Harga: Perisa original: RM3 (cawan sederhana)/ RM5 (cawan besar). Sebarang tambahan topping perlu tambah RM1 sehaja untuk kedua-dua saiz cawan. Waktu operasi: Setiap hari kecuali Jumaat dari pukul 11 pagi hingga 6.45 petang.