ZAMAN telah berubah, tetapi pisang goreng tetap menjadi buruan masyarakat negara ini kerana ia bukan sahaja enak, tetapi sesuai dimakan oleh sesiapa sahaja, pada bila-bila masa. Namun, seiring dengan peredaran zaman, pisang goreng tidak terkecuali daripada terkena tempias alaf baharu, apabila pembaharuan cuba dilakukan terhadap menu ini. Pembaharuan pisang goreng yang sering dilihat beberapa tahun kebelakangan ini adalah pisang goreng keju, yang jika 'kena' dengan resipi dan cara penyediaannya, boleh membuatkan pemburu makanan tidak keruan siang dan malam. Begitulah yang Cik Dhia rasakan sewaktu pertama kali mencuba The Pisang Cheese (TPC) perisa 'salted caramel' yang dijual di Seksyen 13, Shah Alam ini. Cawangan TPC Shah Alam terletak di hadapan Kafe Kueh di Seksyen 13. Kalau nak cerita tentang kerangupan TPC, pelanggan di meja sebelah pun boleh dengar bunyi Cik Dhia mengunyah hidangan ini. Itu baru pasal kerangupan, belum cerita lagi tentang kelazatan keju yang melimpah dan kemanisan 'salted caramel' yang membuatkan TPC patut masuk senarai makanan yang wajib dicuba! Mana tidaknya, keju yang digunakan diimport dari Australia dan 'salted caramel' pula merupakan ramuan rahsia yang dicipta sendiri oleh pengusahanya. Disebabkan Cik Dhia ni jenis suka mencuba, semestilah Cik Dhia mencuba perisa lain pula. Rasa TPC Keju Coklat juga tidak kurang enaknya. Rasanya yang manis dan cair saat dimasukkan ke dalam mulut memang tidak boleh Cik Dhia lupakan. Sememangnya harga bagi setiap kotak TPC berbaloi kerana pengusahanya tidak akan berkompromi tentang rasa demi memberikan yang terbaik kepada pelanggan. Noor Fizlee mendapat idea untuk memperkenalkan pisang goreng keju yang cukup popular di Sabah kerana pernah menetap di sana. Pengusaha TPC, Noor Fizlee Mohd Hapidzal berkata, beliau memilih keju Australia kerana ia merupakan keju terbaik di pasaran dan menepati selera dan citarasa orang tempatan. "Saya dah cuba bereksprimentasi dengan beberapa jenis keju premium dari luar negara seperti Perancis dan Switzerland, tapi nampaknya keju Australia adalah yang terbaik setakat ini. "Pihak kami juga bekerjasama dengan beberapa pakar pembuatan tepung untuk menjadikan pisang goreng TPC boleh kekal rangup sehingga 40 jam," katanya ketika ditemui mStar Online. Bagi wanita yang mesra disapa Fie ini, beliau mengambil masa selama setahun untuk mendapatkan resipi pisang goreng yang bukan hanya rangup ketika ia masih panas, malahan boleh dimakan begitu sahaja ketika ia sudah sejuk. Noor Fizlee (tengah) tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2016. Antara perisa lain yang ditawarkan adalah TPC perisa asli, coklat putih, kayu manis dan 'flava of the month' yang berubah-ubah mengikut perisa pengenalan yang disediakan khas pada bulan berkenaan. Harga bagi setiap perisa TPC adalah RM7 sekotak kecuali perisa 'salted cheese' yang dijual pada harga RM8. Cawangan TPC: 1. Seksyen 5, Kelana Jaya 2. Seksyen 13, Shah Alam 3. Dataran Templer, Selayang 4. Wangsa Maju 5. Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh menghala ke selatan 6. Seksyen 6, Bangi 7. Seksyen 15, Subang Jaya Waktu Operasi: Setiap hari seawal pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam (bergantung kepada lokasi cawangan).