suria

Ayam Goreng Wingstop Buat Lidah Kebas

.PENGGEMAR ayam goreng dan hidangan pedas ‘berapi’ pasti gembira jika Cik Dhia beritahu adanya tempat makan baharu yang diketengahkan menerusi edisi Dhia Datang kali ini.

Menu utama tentu sekali ayam dan bayangkan tahap kepedasan hidangan ayam gorengnya mampu membuatkan lidah anda kebas. Eh, biar betul? Tak mungkin Cik Dhia nak bergurau pula bab makan dengan pembaca setia mStar Online.

Baru-baru ini, Cik Dhia dengar rangkaian restoran makanan segera kasual (fast-casual dining) yang terkenal dari negara Uncle Sam sudah mula beroperasi di ibu negara.

Jangan salah sangka! Restoran Wingstop bukan restoran makanan segera yang menyediakan hidangan yang sudah siap dimasak, tetapi ia dimasakkan panas-panas sebaik pesanan dibuat oleh pelanggan.

Tengoklah! Sampai sesak ruang restoran dengan pelanggan yang datang untuk menikmati kelazatan ayam goreng Wingstop.

Eh, tak sabar pula Cik Dhia nak cuba semua menu yang ada. Maklumlah, bukan senang nak merasai kelazatan ayam goreng istimewa yang resipinya diterbangkan khas dari Amerika Syarikat (AS). Mana tidaknya, ini cawangan sulung Wingstop di Malaysia!

Melangkah masuk ke restoran ini, Cik Dhia teruja untuk cuba buat pesanan menggunakan gajet yang disediakan di kaunter. Wah! Rasa macam buat beli-belah dalam talian pula.

Hanya pilih-pilih sahaja saiz, perisa dan tahap kepedasan ayam yang diingini, kemudian ambil alat peranti untuk diimbas pada mesin yang disediakan dan duduk di meja sehingga pesanan sampai.

Seiingat Cik Dhia, tidak sampai 15 minit semua yang Cik Dhia pesan terhidang di meja.

Tapi, kalau anda tidak terkejar-kejar masa, Cik Dhia cadangkan untuk terus tarik kerusi dan duduk di meja sambil tunggu pelayan datang ambil pesanan.

Cik Dhia sengaja pesan perisa ayam goreng yang paling pedas untuk mencabar diri dan nak tahu sejauh mana tahap kepedasan ayam di restoran yang terletak di The Street, The Curve Damansara ini.

Sebaik gigitan pertama ayam perisa Atomic masuk ke mulut, Cik Dhia terus rasa ‘berapi’ sebab memang terlalu pedas.

Sos lada habanero yang melimpahi ayam goreng membuatkan lidah Cik Dhia kebas dan mata pun berair. Apa lagi? Terus Cik Dhia sambar segelas milkshake untuk hilangkan rasa pedas.

Ayam Atomic ini memang lazat yang ‘meminta-minta’ kerana biar pun rasanya pedas, tapi masih teringin untuk habiskan sehingga ke gigitan terakhir.

Ayam goreng perisa Atomic ini sesuai untuk mereka yang gemarkan sesuatu yang pedas.
Ini pula set kombo nasi lemak dengan ayam goreng berperisa Sambal Pedas, coleslaw dan minuman ringan yang dijual pada harga RM14.95 sahaja.

Istimewanya, semua menu yang ada di Wingstop ini disediakan segar dan hanya dimasak selepas menerima pesanan daripada pelanggan, digaul sempurna dengan sos yang diimport dari AS dan turut menawarkan tiga perisa baharu yang menepati selera orang Malaysia.

Terdapat enam jenis saiz potongan ayam yang boleh dipilih mengikut cita rasa masing-masing.

Antaranya adalah kepak ayam klasik atau hand-breaded, tanpa tulang, tenders, paha, burger ayam dan set nasi lemak, manakala tiga perisa yang sesuai dengan selera orang kita pula adalah Sambal Pedas, Oriental Soy Pepper dan Balinese Spice.

Walaupun dinamakan Sambal Pedas, namun ia masih boleh dimakan oleh mereka yang tidak tahan pedas.

Betul ke Cik Dhia ni? Kalau tidak percaya, kenalah cuba sendiri.

Bagi mereka yang mahu membawa seiisi keluarga dan ada anak kecil pula boleh cuba perisa Garlic Parmesan yang mempunyai rasa keju dan bawang putih yang dimasak secukup rasa, tidak pedas dan tidak terlalu cheesy.

Belum habis lagi tau! Rupa-rupanya bukan set ayam sahaja yang pedas di Wingstop, tapi milkshake pun ada.

Wingstop menawarkan lapan jenis milkshake.

Apa kata cuba pengalaman baharu dengan perisa Mango Habanero Shake yang apabila diminum rasa manis pada awalnya, namun rasa pedas mula ‘menyengat’ ketika sampai di tekak anda.

Cik Dhia cadangkan agar anda semua cuba sendiri hidangan yang ada dan jangan lupa untuk sertai pertandingan memuat naik gambar paling kreatif bersama Wingstop untuk memenangi set ayam percuma dan wang tunai bernilai RM1,000.

Caranya pun mudah sahaja. Hanya perlu ambil gambar dan tag akaun Instagram @mywingstop serta gunakan hashtag #mywingstop.

Mereka yang bertuah akan menerima tiket percutian ke Las Vegas.

Sekiranya, gambar anda di ulang muat naik (repost) oleh Wingstop, anda akan menerima set ayam goreng tanpa tulang secara automatik.

Tidak cukup dengan itu, pelanggan juga berpeluang untuk memenangi percutian untuk dua orang ke Las Vegas, AS dengan hanya menghantar butiran peribadi ke laman Facebook Wingstop Malaysia. Nantikan tarikh pelancaran Wingstop di laman sosial mereka.

Alamat:
Lot G51, The Street, The Curve, Mutiara Damansara, 47800 Petaling Jaya, Selangor.

Waktu Operasi:
Setiap hari pukul 10 pagi hingga 10 malam (Isnin hingga Khamis) dan pukul 11 malam (Jumaat hingga Ahad).

Dhia Datang, Wingstop

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain