BALING: Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong di daerah ini terus menjadi destinasi percutian bagi pelancong tempatan dan antarabangsa dengan mencatatkan 17,501 pengunjung sepanjang November lepas. Pengurus pusat rekreasi itu Mardziah Muhamad Razi berkata jumlah tersebut merupakan terbanyak setakat ini sejak lokasi rekreasi tersebut tercemar dengan isu rotavirus, awal tahun ini. "Dengan jumlah tersebut, ia jelas membuktikan tempat ini sudah memperoleh semula kepercayaan orang ramai dan paling utama pelan pemulihan kami berjaya," katanya kepada Bernama baru-baru ini. Gambar fail (Utusan Baling) Mengulas lanjut, beliau berkata daripada jumlah itu kehadiran pengunjung dari luar negara turut memberangsangkan dengan rekod 175 orang sepanjang bulan lepas. Mardziah menjangkakan angka tersebut akan bertambah hingga penghujung tahun ini berikutan cuti sekolah yang masih berbaki,termasuk cuti perayaan Hari Natal. "Kami belum mempunyai statistik rasmi bagi bulan ini tetapi apa yang pasti, pusat rekreasi ini penuh setiap hari minggu, malah setiap malam juga sejak musim cuti sekolah bermula. "Ini banyak disumbangkan oleh faktor cuaca baik untuk bersantai di kolam air panas dan kemudahan yang dipertingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.-Bernama