BAS hop on hop off adalah tarikan terkini di kota suci bercahaya, Madinah Munawarah. Khidmat yang semakin menjadi perhatian ramai jemaah terutama mereka yang membawa keluarga mula beroperasi pada pertengahan tahun lalu. Ketika berkunjung ke Tanah Suci Madinah baru-baru ini, penulis tidak melepaskan peluang untuk menaiki bas berkenaan bersama-sama tujuh anak istimewa atau orang kurang upaya (OKU) dari Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Titiwangsa, lima petugas anak istimewa dan beberapa waris keluarga OKU. Cuaca dingin menyebabkan kami memilih untuk menaiki bas pada sebelah pagi iaitu selepas bersarapan di hotel penginapan yang terletak tidak sampai 200 meter dari kaunter dan stesen utama bas hop on hop off. Tiket bas boleh ditempah secara atas talian atau datang terus ke kaunter yang terletak di gerbang Masjid Nabawi iaitu di depan pintu 21 dan 22. Harga tiket adalah SR80 (RM84.05) seorang (dewasa), SR40 (RM42.02) seorang (kanak-kanak dan pelajar) manakala SR200 (RM210) untuk keluarga iaitu dua dewasa dan dua kanak-kanak). Bagaimanapun, oleh sebab saya membeli tiket secara berkumpulan dan membawa tujuh anak istimewa dan beberapa pelajar, diskaun diberikan untuk kami, iaitu SR60 (RM63) seorang untuk dewasa manakala SR30 (RM31.05) seorang (OKU dan pelajar). Dengan harga yang diberikan, saya dan semua yang menaiki bas hop on hop off terasa begitu berbaloi kerana perjalanan yang panjang iaitu hampir dua jam begitu mengujakan dan bas berhenti di 11 stesen di bandar Madinah. Sejurus menjelaskan bayaran di kaunter, anda akan dibekalkan dengan earphone dan risalah mengenai perkhidmatan bas hop on hop off. Anda boleh memilih untuk duduk di ruang bawah atau atas. Kami memilih duduk di atas dan di bahagian atas pula terbahagi dua ruang duduk iaitu bertutup atau terbuka. Saya memilih ruang terbuka untuk menikmati kedinginan udara serba nyaman di Madinah. Perjalanan bermula pada jam 8.30 pagi di depan gerbang Masjid Nabawi yang juga perhentian utama atau pertama. Hentian kedua ialah tanah perkuburan Baqi diikuti tempat berbelanja iaitu Al Manakh Square. Bas berhenti seterusnya di depan bangunan pameran nama-nama Allah diikuti pintu Al-Salam di Masjid Nabawi. Hentian kelima ialah Jabal Uhud diikuti pusat beli-belah Al Noor. Kesibukan Madinah jelas ternampak apabila bas melalui dan berhenti di hentian ketujuh ialtu Sultana Road. Seterusnya perjalanan kami diteruskan lagi sehingga berhenti di Masjid Qiblatain dan melalui medan pertempuran Perang Khandak. Masjid Quba adalah hentian ke-10 dan akhir sekali bas melalui Stesen Keretapi al-Hijjaz. Lazimnya, khidmat mutawif amat diperlukan untuk memberi penerangan mengenai destinasi bersejarah yang dikunjungi tetapi jika anda menaiki bas hop on hop off, hanya pasangkan earphone dan sambungkan pada alat di sisi untuk mengetahui sejarah dan maklumat setiap tempat dikunjungi. Ada lapan bahasa disediakan iaitu Melayu, Indonesia, Perancis, Inggeris, Arab, Urdu, Turki dan Parsi. Waktu operasi bas adalah selepas solat Subuh hingga selesai solat Isyak. Anda boleh memilih untuk terus duduk di dalam bas tanpa turun ke sebarang lokasi dikunjungi atau keluar dari bas dan meninjau tempat bersejarah. Anda boleh menaiki semula bas hop on hop off di perhentian ditetapkan dalam tempoh kira-kira setengah jam selepas meninjau destinasi sekitar. Kekerapan khidmat bas dua tingkat itu adalah di antara 25 dan 30 minit. Penggunaan wifi secara percuma juga menyebabkan penumpang terasa gembira menaikinya. Untuk menempah tiket atas talian anda boleh layari laman sesawang www.citysightseeing-madinah.com Jika hendak membeli tiket secara tunai atau menggunakan kad kredit, dapatkannya di kiosk di perhentian utama perkhidmat bas berkenaan.