JIKA ada yang tertanya-tanya tentang kewujudan 'homestay' atau rumah inapan berkonsepkan desa di tengah bandar Kuala Lumpur, jawabnya ia memang wujud. Bagi warga kota tetapi sesekali ingin lari dari kesibukan sebuah bandar, Chenta Cottage adalah pilihan tepat. Terletak di Taman Ria, Setapak, lokasinya sangat strategik dan tidak memerlukan anda untuk keluar jauh dari Kuala Lumpur untuk bercuti merehatkan minda sambil menikmati suasana desa. Berlantaikan kayu antara keunikannya. FOTO: NurSyazanaAbdShukur Sewaktu pertama kali menjejakkan kaki ke Chenta Cottage, penulis berasa seperti telah sampai ke kampung halaman sendiri, terlupa sejenak bahawa penulis masih berada di Kuala Lumpur. Dibina dengan kayu sepenuhnya, berada di sini ternyata memberi satu perasaan berbeza. -fotoTHESTAR/NurSyazanaAbdShukur Menurut pengurus Chenta Cottage, Siti Waheedah A Wahid, 38, rumah inapan berkonsepkan desa itu pada mulanya dibina sebagai rumah rehat keluarga sahaja. Namun, keputusan untuk menjadikannya sebagai satu bentuk perniagaan ternyata memberi satu kepuasan kerana rata-rata penyewa gembira dengan konsep yang diketengahkan. Siti Waheedah A Wahid "Walaupun kelihatan seperti rumah kampung biasa, ia dilengkapi dengan kemudahan asas seperti televisyen, pendingin hawa, sofa dan dua buah katil," kata Siti Waheedah kepada mStar Online. Tampil dengan hiasan minimalis menjadikan setiap ruang yang ada selesa diduduki. Apa yang lebih menarik, satu meja kopi dilengkapi dua kerusi turut disediakan di anjung rumah berkenaan membolehkan penyewa melepak dan berbual-bual di ruangan tersebut. Laman hadapannya yang luas membolehkan pelbagai jenis majlis diadakan, termasuklah aktiviti barbeque bersama ahli keluarga atau rakan-rakan. Chenta Cottage boleh disewa sebagai lokasi untuk mengadakan majlis hari jadi, majlis rumah terbuka, majlis pertemuan semula (reunion) dan majlis resepsi. Bagaimanapun, dekorasi tambahan atau khemah untuk majlis perlu diuruskan sendiri oleh mereka yang ingin menganjurkan majlis di situ. Terdapat sebuah lagi bilik kecil yang menempatkan satu katil bujang. Menurut pengurusnya lagi, ruang meletak kenderaan di rumah inapan itu yang agak luas merupakan satu bonus kepada tetamu. Dengan bayaran serendah RM130 semalam, menghabiskan cuti di Chenta Cottage ternyata berbaloi.