suria

Tak Pernah Puas Lawat Bosnia, Wanita Ini Kongsi Pengalaman Memukau Mata!

Pusat sufi Derwish di Tekija Blagaj.

TERLETAK di kawasan pergunungan dengan lembah serta sungai yang mengalir jernih menjadikan Bosnia Herzegovina satu negara yang sangat indah dari segi landskapnya.

Bukan mahu melupakan sejarah hitam yang pernah hadir beberapa ketika negara itu, tetapi mahu melihat sisi lain negara yang penuh dengan keindahan mata air dan sungai memukau seperti permata yang tersembunyi.

Plava Voda

Di sini, penulis ingin berkongsi beberapa lokasi yang wajib dilawati jika berpeluang ke Bosnia.

Bagi penulis sendiri, beberapa kali berkunjung ke negara ini masih belum puas meneroka dan menikmati kecantikan anugerah Maha Esa ini.

Damai di Tekija Blagaj, Mostar

Berada di tenggara Mostar, Tekija Blagaj adalah pusat sufi Derwish yang dibina di zaman kerajaan Uthmaniyyah kira-kira 500 tahun lalu amat mendamaikan.

Diiktiraf sebagai binaan warisan kebangsaan negara itu, bangunan dua tingkat dengan seni bina Utmaniyyah dan Mediteranean ini menempatkan surau, makam dan ruang kuliah.

Secara peribadi, ini adalah lokasi kegemaran penulis setiap kali berkunjung ke Bosnia.

Menikmati keenakan air sungai yang dihidangkan di restoran di tepi Sungai Buna itu, tentu pengalaman tidak dapat dilupakan.

Menurut cerita penduduk tempatan ketika Perang Bosnia, penduduk berlindung di bangunan itu dan dengan kuasa Allah tiada satu peluru pun hinggap di dinding pusat itu walaupun bedilan peluru tanpa henti daripada pihak musuh.

Di zaman Uthmaniyyah, pusat ini digunakan sebagai pusat ibadah oleh para sufi.

Siang hari para sufi bekerja sebagai petani atau penggembala kambing, malam pula dipenuhi dengan  majlis zikir.

Sehingga kini setiap hujung minggu, majlis zikir masih diadakan.

Segarnya di Vrelo Bosne, Sarajevo

Taman Negara Vrelo Bosne ini bertukar wajah setiap kali berubah musim, namun keindahannya mata air Sungai Buna ini sukar diungkap dek kata-kata.

Bagi yang berkunjung ke Sarajevo, taman yang terletak di kaki Gunung Igman ini wajib dilawati kerana ia sesuai untuk menambahkan lagi koleksi gambar serta video.

Taman Vrole Bosne di Sarajevo.

Semasa Perang Bosnia, taman ini tidak dijaga dan penduduk tempatan memotong pokok untuk mendapatkan kayu bagi kegunaan bahan bakar.

Pada tahun 2000, pemuliharaan taman ini dilaksanakan dan ia kini menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Jernihnya mata air biru di Plava Voda, Travnik

Memang benarlah gelaran yang diberikan kepada mata air Sungai Hendek di Travnik, bekas ibu negara Bosnia ini.

Plava Voda atau Air Biru.

Dikenali sebagai Plava Voda yang bermaksud air biru atau Blue Water, air jernih yang mengalir di kampung Sumece berhampiran Madrasah Ibrahim Pasha ini sememangnya berwarna biru.

Singgah seketika di sini, amat mendamaikan sambil menikmati keenakan kopi Bosnia di kafe di tepi sungai itu.

Penulis (berkaca mata) bersantai dengan rakan-rakan sambil menikmati keindahan Plava Voda.

Di sini juga terdapat kincir air lama dan jambatan batu  yang turut menambah seri kepada sungai yang menjadi persinggahan pelancong yang mahu melawat kota lama Travnik.

Comel sungguh kincir air di Mlincici, Jajce

Seperti berada di dunia orang kenit apabila melihat kecomelan kira-kira 20 kincir air yang terletak berhampiran Tasik Pliva.

Kincir air ini dibina di zaman Austrian Hungarian untuk mengisar tepung menggunakan kuasa air yang deras.

Comelnya kincir air di Mlincici Jajce.

Ia terdapat di Jajce dan banyak tempat di Bosnia. Di zaman dahulu,  setiap keluarga mempunyai satu pondok kincir air untuk mengisar tepung.

Namun, ia musnah akibat perang.

Kincir air pengisar tepung Mlincici, Jajce.

Selepas perang tamat, kerajaan membina semula untuk tarikan pelancong dan kini hanya satu sahaja daripada 20 kincir air itu berfungsi untuk mengisar tepung.

Nah, apa lagi. Jika ke Bosnia jangan tidak singgah di tempat yang indah dan memukau ini.

Artikel Lain