suria

Dulu Berjam-Jam Di 'Airport', Tak Lama Lagi Jemaah Hanya Perlu Tunggu 10 Minit

- Gambar hiasan

MAKKAH: Pihak berkuasa Arab Saudi memilih menggunakan teknologi pengurusan data pintar untuk memendekkan tempoh menunggu di lapangan terbang bagi jemaah haji dan umrah yang berkunjung ke negara itu.

Satu daripadanya ialah memperkenalkan gelang tangan RFID (identifikasi frekuensi radio) untuk mempercepatkan pemeriksaan identiti semasa ketibaan dan berlepas di lapangan terbang.

"Pada masa ini, ia mengambil masa berjam-jam untuk melepasi pemeriksaan Imigresen atau Kastam. Dalam masa terdekat, kami berharap ia mengambil masa tidak sampai 10 minit," kata Naib Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Abdulfattah Suliman Masha, bercakap kepada tiga editor media Malaysia yang melakukan kunjungan di sini.

Beliau berkata melalui gelang tangan RFID itu, jemaah haji tidak perlu lagi mengeluarkan pasport di pusat pemeriksaan kerana mereka akan didaftarkan secara automatik apabila melalui pintu elektronik.

Dr Abdulfattah, yang dilantik ke jawatan itu baru-baru ini, berkata teknologi tersebut juga membantu mengenal pasti hotel jemaah dan bas yang sepatutnya mereka naiki dari lapangan terbang itu.

"Tempoh menunggu yang lama tidak lagi boleh diterima," katanya.

Rancangan lain ialah untuk memudahkan perkhidmatan pemunggahan dan pemindahan bagasi jemaah ke destinasi mereka tanpa perlu membawa sendiri bagasi dari hotel ke lapangan terbang sebelum berlepas pulang.

"Anda tidak perlu membawa beg dan anda tidak perlu menunggu (bagasi)," katanya dan menambah ia termasuk air zam zam.

Dr Abdulfattah yakin sistem itu akan berjaya dilaksanakan bagi jemaah Malaysia dan memuji pengurusan Tabung Haji yang cekap mengendalikan jemaah negara.

Beliau memberi penarafan 9.5 daripada 10 kepada Tabung Haji kerana kecekapannya mengendalikan jemaah haji Malaysia.

"Mereka sangat teratur. Setiap kali kami mempunyai idea baharu, kami akan terus memaklumkan kepada Tabung Haji untuk dilaksanakan," katanya.

- Gambar hiasan

Dr Abdulfattah berkata projek rintis telah berjaya dilaksanakan dengan Tabung Haji tahun lepas dan Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang melaksanakan proses imbasan awal bagi jemaah haji.

Program itu membolehkan jemaah haji menjalani imbasan awal di Lapangan Terbang Antarabangsa KL dan mereka tidak perlu lagi melalui proses Imigresen Arab Saudi apabila mendarat di Jeddah dan Madinah.

Beliau berkata ini adalah antara inisiatif yang akan dilaksanakan Kementerian Haji dan Umrah dengan kerjasama kementerian lain yang berkaitan di negara ini, sejajar dengan Wawasan 2030 kerajaan Arab Saudi.

Beliau juga berkata kuota haji akan kekal sama pada tahun ini bagi semua negara.

Dr Abdulfattah menjelaskan kuota itu dinaikkan tahun lepas dan pihak berkuasa Arab Saudi tidak mampu untuk naikkan lagi berikutan kemudahan yang terhad di Mina.

"Kami tidak mahu mengambil risiko aspek keselamatan jemaah, melainkan kami telah menyiapkan projek baharu pembinaan bangunan di Mina, saya tidak fikir ia adalah idea yang baik (untuk tingkatkan kuota)," katanya.

Beliau turut mengumumkan rancangan untuk membina bangunan bertingkat menggunakan teknologi hijau di Mina tahun ini, yang akan mengubah landskap bandar khemah di Mina.

Kompleks itu akan dilengkapi dengan kemudahan standard yang tinggi dan setiap satu akan dapat menampung 4,000 jemaah haji.

Beliau berkata kementeriannya sedang mengkaji kemungkinan menggunakan teknologi pintar dalam usaha menawarkan jemaah pengalaman terbaik mengerjakan haji ke tanah suci.

Dr Abdulfattah berkata kerajaannya menyasarkan untuk menampung 30 juta jemaah umrah setiap tahun menjelang 2030 berbanding tujuh juta sekarang, serta 4.5 juta jemaah haji daripada tiga juta sekarang.

Kereta api berkelajuan tinggi Haramain yang menghubungkan Jeddah, Makkah dan Madinah, meliputi perjalanan sejauh lebih 450 kilometer, dijangka beroperasi tidak lama lagi dan sedang diuji.

"Kami mahu memperbaiki perkhidmatan yang ditawarkan kepada jemaah supaya apabila mereka memulakan perjalanan dari negara asal mereka ke Arab Saudi, sebaik tiba di lapangan terbang dan hotel, mereka akan menikmati standard perkhidmatan yang tinggi," katanya.

Beliau berkata projek pembesaran lapangan terbang di Jeddah berjalan lancar dan projek ketiga pembesaran Masjidil Haram kini di fasa terakhir.

Sebelum pelantikannya, Dr Abdulfattah, 48, adalah Presiden Universiti Jeddah.

Sebelum itu beliau merupakan Naib Presiden Pembangunan di Universiti Raja Abdulaziz selama tiga tahun.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Raja Abdulaziz pada 1989 dan memperoleh Ijazah Sarjana Sains dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Leeds, United Kingdom pada 1999 dalam bidang sains komputer.

-Bernama

Makkah, gelang RFID

Artikel Lain