suria

Jangan takut! Empat pengembara kongsi kisah buat anda jatuh cinta 'travel solo'

Tan Winson ketika melawat kolam berbentuk hati di Changhua, Taiwan.

MENGEMBARA ke pelbagai destinasi di seantero dunia pastinya akan memberi keterujaan dan pengalaman baharu. Namun mengembara secara solo pastinya sesuatu yang memberikan nikmat berlipat ganda.

Meskipun lebih mencabar, pengembaraan solo membawa dimensi berbeza untuk pengalaman anda.

Ikuti kisah empat pengembara solo yang bercerita mengikut perspektif mereka.

Menurut Tan Winson, dia pada mulanya sekadar membaca mengenai panduan mengembara ke Jepun sebelum membuat keputusan untuk ke sana.

"Selepas pergi ke negara matahari terbit itu, saya sedar mengembara tidak memerlukan wang yang banyak.

"Selama seminggu di sana, saya hanya menghabiskan sekitar RM1,500 sahaja," ujar pelajar jurusan perakaunan itu.

Bermula dengan Jepun, Tan kini sudah menjelajah ke Singapura, Australia dan Taiwan secara solo dalam bajet yang kecil sahaja.

Ujarnya, dia mampu mengembara dengan kos rendah apabila tidak menginap di hotel sebaliknya hanya tinggal di asrama.

Tambahnya, dia juga membawa gajet tertentu sahaja kerana tidak mahu menambah berat dan kos bagasi.

Namun, kekurangan pengembaraan solo biasanya akan jelas kelihatan sewaktu membuat tempahan pakej.

"Industri pelancongan biasanya menawarkan trip untuk mereka yang berpasangan dan berkumpulan.

"Mereka yang melancong sendirian akan dikenakan harga yang agak tinggi," kata Tan.

Sementara itu, seorang lagi pengembara solo, Kalaibaani P. Silvarajah, 28, pula bercerita bahawa dia jatuh cinta dengan kaedah pengembaraan itu setelah berkunjung ke Vietnam pada 2015.

Kayu selfie peneman pengembara solo, Kalaivaani ketika melawat Bagan, Myanmar.


"Itu kali pertama melancong sendirian. Saya terus jatuh cinta. Ada satu perasaan istimewa apabila meneroka tempat baharu sendiri.

"Malah, saya juga dapat menyelami budaya di sana dan bergaul dengan masyarakat setempat.

"Mengembara sendirian memang mencabar, tapi sekembalinya saya dari pengembaraan, saya mendapati diri ini lebih berkeyakinan dan semakin berdikari," ujarnya.

Semenjak itu, dia sudah mengembara ke Myanmar, Laos, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Pengembaraan solo turut memberi peluang untuk dia lebih mengenali diri sendiri.

Mengenai soal keselamatan pula, dia sering mengikut gerak hatinya.

"Yalah, sebagai wanita yang mengembara sendirian, saya cuba mengelak lokasi  berisiko.

"Kalau saya rasa tak sesuai, saya tak akan pergi. Saya percaya pada gerak hati," ujar Kalaivaani.

Seterusnya, Clement Lee, sudah menghabiskan dua dekad mengembara sendirian ke Barbados, Rio De Jeneiro, Machu Picchu, Mesir dan banyak lagi.

Clement Lee teruja apabila tiba di puncak Machu Picchu, Peru.


Malahan, lelaki berusia 53 tahun ini mengakui beliau dapat merasai kebebasan apabila mengembara sendirian.

Berdasarkan pengalamannya, dia menasihatkan agar tidak mengambil pakej pelancongan.

"Gunakan bas sahaja, kalau jalan kaki pun boleh. Elakkan sewa kereta dan naik teksi sebab kosnya agak mahal.

"Anda juga perlu membuat kajian dahulu sebelum melancong ke sesuatu destinasi," ujarnya lagi.

Tips pengembara solo turut disampaikan Chee Shok Fong, 60, yang  mengakui telah temui dirinya sendiri dengan mengembara secara solo.

Chee Shok Fong menikmati tempoh pengembaraan solonya di Seville, Sepanyol.


Pakar terapi dari Kuala Lumpur itu mula berjinak-jinak dengan aktiviti itu sewaktu mengembara ke Sepanyol pada 2010.

Walaupun takut, dia akhirnya berjaya menghabiskan penjelajahan ke beberapa bandar di negara itu.

Sejak itu, ibu kepada tiga anak ini telah berkunjung ke Perancis, China, Taiwan, India dan Itali secara bersendirian.

Chee Shok Fong bersama pemuzik jalanan di Madrid, Sepanyol.


"Perasaan takut, gementar, dan tidak yakin  memang ada. Tapi itulah proses untuk lebih mengenali diri kita.

Malah, dia juga dapat membuat refleksi diri apabila mengembara sendirian berdasarkan pengalaman yang dilalui.

Tan Winson, Kalaibaani

Artikel Lain