suria

'Dark Tourism', menarik juga!

Perkuburan besar di Srebrenica Genocide Memorial.

BILA bercakap mengenai aktiviti pelancongan tentunya terbayang keindahan kawasan pergunungan, sungai mengalir jernih, pantai memutih indah, bangunan yang penuh seni bina unik dan bersejarah, taman indah dipenuhi bunga dan bermacam-macam lagi keindahan menggamit perasaan.

Namun, di sebalik keindahan yang terukir dalam bidang pelancongan ini, ada satu jenis pelancongan yang tidak kurang menariknya iaitu melawat kawasan yang mencatatkan sejarah tragedi, kekejaman dan mengerikan atau lebih dikenali sebagai 'Dark Tourism'.

Banyak lokasi di dunia ini yang menyimpan sejarah peperangan, kemusnahan dan tragedi yang wajar dikunjungi bagi mencetuskan keinsafan terhadap apa yang pernah terukir dalam lipatan sejarah sebelum ini dan meningkatkan rasa kesyukuran dengan nikmat keamanan serta kemakmuran negara yang dikecapi kini.

Pemandangan Switzerland of Balkan

Penulis sendiri mengakui gemar untuk berkunjung ke lokasi yang dikenali dengan tarikan Dark Tourism kerana minat mendalam terhadap sejarah dan sedikit sebanyak menambah keinsafan dalam diri.

Meh, kita tengok beberapa lokasi dunia yang dikatakan sebagai Dark Tourism.

Srebrenica di Bosnia, saksi penghapusan etnik Muslim Bosnia tanpa ihsan

Terletak di Srebrenica, Bosnia pekan yang bersempadan dengan Serbia, lokasi ini mencatatkan kisah duka dan tragis kekejaman tentera Serbia dalam peristiwa pembersihaan etnik Islam Bosnia pada Julai 1995.

Senarai nama mangsa pembersihan etnik Muslim Bosnia.

Di sini juga terdapat lebih 6,000 kubur mangsa kekejaman itu yang ditanam di kawasan perkuburan besar dikenali sebagai Srebrenica Genocide Memorial atau Srebrenica-Potocari Memorial.

Kunjungan ke sini tidak lengkap jika tidak singgah di Memorial Rooms atau lebih kelihatan seperti muzium di bangunan bekas kilang bateri.

Di sini, pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat gambar serta video rakaman kekejaman itu.

Jika bernasib baik, boleh juga mendengar cerita dari penduduk tempatan yang menjadi saksi peristiwa itu.

Perjalanan ke pekan itu yang mengambil masa tiga jam dari ibu negara Bosnia, Sarajevo tentunya tidak menjemukan kerana laluan ke pekan yang terletak di kawasan pergununangan yang lebih dikenali dengan jolokan Switzerland of Balkan memang menakjubkan.

Kem Tahanan Auschwitz Birkenau, Poland bukti kekejaman regim Nazi


Pagar berduri di  Kem Tahanan Auschwitz Birkenau, Poland.

Bagi memperingati kekejaman pihak Nazi Jerman terhadap tahanan berbangsa Yahudi dari 20 negara, bangsa Gipsi dan rakyat Poland, kem Tahanan Auschwitz Birkenau yang menyaksikan pembunuhan lebih sejuta orang masih dibuka sebagai muzium kepada orang ramai.

Terletak di pekan Oswiecim, selatan Poland, kem yang digunakan antara tahun 1940 hingga 1945 ini, turut menempatkan bilik gas di mana tahanan dimasukkan ke dalam secara beramai ramai sebelum dibunuh menggunakan gas beracun termasuk Zyklon B dan pusat pembakaran mayat.

Bukan itu saja, berada selama dua jam di muzium itu turut membolehkan pengunjung melawat Blok 10 di mana penyelidikan dijalankan pihak Nazi Jerman terhadap pasangan kembar, bayi dan orang kerdil.

Namun, selesai penyelidikan kesemua mereka dibunuh.

Kem Tahanan Auschwitz Birkenau, Poland.

Untuk ke kem ini ada juga pantang larangnya. Pengunjung tidak dibenarkan membawa beg tangan yang besar hanya dibenarkan sebesar kertas A4. Begitu juga aktiviti swafoto juga dilarang kerana mahu menghormati mangsa kekejaman Nazi yang terkorban.

Muzium Genosid Tuol Sleng, Phnom Penh, Kemboja menyayat hati

Paling dekat dengan Malaysia, Muzium Genosid Tuol Sleng yang terletak di ibu negara Kemboja, Phnom Penh pasti mengundang keinsafan dan menyayat hati apabila melihat ribuan gambar serta lukisan yang menggambarkan cara penyiksaan oleh rejim Khmer Rouge dipaparkan.

Bertempat di bangunan sekolah menengah yang pernah dijadikan penjara di zaman pemerintahan rejim itu, setiap bilik darjah itu menempatkan pelbagai pameran serta suasana sebenar penjara yang dibina dalam setiap bilik darjah dengan ruang yang kecil.

Buku yang ditulis mangsa terselamat dari penjara rejim Khmer Rouge, Chum Mey.

Jika bernasib baik, kita juga berpeluang menemui salah seorang daripada tujuh tahanan yang terselamat daripada dibunuh, Chum Mey yang menjual buku mengenai pengalamannya menghuni penjara ngeri itu di kawasan muzium berkenaan.

Artikel Lain