YANGON: Menyusuri kaki lima di sekitar bandar Yangon, Myanmar, perasaan penulis bercampur baur melihatkan keadaan sekeliling. Ada ketika, rasanya bagaikan terperangkap di dalam terowong masa namun pada masa sama terdapat pula bangunan moden pencakar langit. Unsur moden dan tradisional bertemu, menghasilkan suasana unik yang pastinya dihargai terutamanya oleh golongan pencinta budaya, sejarah dan sosial. Pada sepanjang jalan-jalan utama, kelihatan bangunan-bangunan pencakar langit tegak mencelus di celah binaan-binaan lama yang masih kekal dengan reka bentuk kolonial British. Pertembungan budaya juga dapat dilihat dengan jelas daripada cara masyarakat di sini berpakaian. Golongan lelaki mengenakan pakaian moden seperti kemeja, kemeja-T berkolar atau tanpa kolar yang dipasangkan dengan sejenis kain pelikat, dipanggil longyi. Kaum wanita pula selesa mengenakan blaus tradisional Yin Seet, dikenakan dengan kain sarung Hta Mainyang kelihatan seakan-akan baju kurung moden Melayu. Ada juga wanita yang mengenakan blaus atau kemeja-T dan dipadankan bersama longyirekaan khusus dengan motif dan gaya feminin. UBAH LALUAN Pertembungan unsur sejarah paling menarik dapat dilihat daripada sistem jalan raya di negara ini. Sebagai sebuah negara yang pernah dijajah British, jalan raya di sini mengikut sistem memandu di laluan kiri. “Tetapi pada 1970, Presidennya, Jeneral Ne Win memutuskan untuk bertukar kepada sistem memandu di laluan kanan jalan raya secara mendadak,” cerita pemandu pelancong, Win Ko Kyaw, 40, kepada penulis sewaktu lawatan baru-baru ini. Walaupun selepas hampir separuh abad sistem memandu di laluan kanan jalan raya dilaksanakan, sehingga kini kebanyakan kenderaan di sini adalah yang dilengkapi sistem pemanduan kanan yang sepatutnya dipandu di laluan kiri seperti yang terdapat di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Singapura. Ini kerana, Myanmar banyak mengimport kereta dari pasaran Asia Tenggara. BEDAK SEJUK ‘THANAKHA' Satu perkara menarik di Myanmar adalah budaya pemakaian bedak sejuk berasaskan habuk kayu yang dipanggil ‘thanakha', yang juga digunakan kalangan komuniti Myanmar yang kini tinggal di Malaysia. Ratu cantik Myanmar tahun 2017 Ei Kyawt Khaing mengenakan bedak sejuk berasaskan habuk kayu ‘thanakha’ yang juga digunakan kalangan komuniti Myanmar yang kini tinggal di Malaysia. Bedak sejuk berwarna kekuningan itu dihasilkan daripada batang pokok thanakhayang diproses menggunakan batu pengisar. okok itu tumbuh liar di seluruh negara ini selain yang ditanam untuk tujuan komersial. Hasil kisaran batang pokok dan air diadun sehingga likat sebelum disapu pada pipi dan dahi. “Penggunaan thanakhatidak dapat dipisahkan dengan kehidupan masyarakat Myanmar baik lelaki mahupun wanita terutamanya di kawasan pinggir bandar dan kampung-kampung. “Tetapi, di bandar besar seperti Yangon, golongan lelaki jarang mengenakan thanakha ketika berada di kawasan awam sebaliknya bedak itu ibarat satu tatarias wajib bagi kaum wanita hampir sepanjang masa,” jelas Win Ko. Malah masyarakat luar bandar yang kebanyakannya petani dan pengembala turut menyapu thanakha di bahagian leher, tangan dan kaki. Thanakhadigunakan sebagai penyejuk dan pelindung kulit semula jadi daripada terkena selaran matahari, berkesan untuk mencerah, menghilangkan bintik-bintik hitam dan menghaluskan kulit selain berbau wangi. Bedak itu mudah diperolehi dan murah. GAYA HIDUP SANTAI Jika anda gemarkan makanan jalanan dan suka kehidupan yang santai, Yangon adalah tempatnya. Menjadi budaya masyarakat tempatan untuk menikmati hidangan kegemaran mereka di gerai-gerai di kaki lima sambil berbual-bual dengan rakan-rakan dan keluarga. Pintu gerbang untuk masuk ke Pasar Bogyoke Aung San (sebelum ini dikenali sebagai Pasar Scott). Ia adalah antara tarikan utama pelancong di Yangon terutamanya untuk membeli belah barang kemas atau cenderahati untuk dibawa pulang ke kampung halaman. Sebagai contoh, di Pasar Bogyoke Aung San (sebelum ini dikenali sebagai Pasar Scott), puluhan orang sering menikmati minuman panas sambil bermain catur. Selain itu, di Taman Maha Bandula yang menempatkan Monumen Kemerdekaan, orang ramai berkelah di atas rumput manakala ada yang menikmati hidangan di pasar malam yang dibuka setiap hari di situ. Kafe-kafe ‘hipster' di banyak sekitar bandar ini memang popular sebagai tempat bersantai bersama rakan-rakan, selain menjadi ‘pejabat' bagi generasi muda yang menjalankan perniagaan melalui internet. Trend berniaga dalam talian semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda sebagai sumber mencari rezeki. BECA UNIK Jika tidak mahu berjalan kaki, pelancong boleh menaiki beca untuk melihat sekitar sekitar bandar ini. Uniknya, penumpang beca di sini duduk saling membelakangi - seorang menghadap ke hadapan, seorang lagi menghadap ke belakang, berbeza daripada beca di Malaysia. Jadi, sekiranya seseorang itu berbadan gempal, menaiki beca bukanlah pilihan yang selesa kerana tempat duduknya agak sempit, sesuai untuk saiz penduduk tempatan yang kebanyakannya berbadan kecil. Pada hemat penulis, mungkin kerana faktor jalan raya yang agak sempit dan jumlah kenderaan yang banyak serta ramai yang berjalan kaki, maka beca jenis ini lebih praktikal. Pilihan yang lebih selesa, perkhidmatan teksi dan e-hailing boleh didapati dengan kadar tambang yang berpatutan. PAGODA TERTUA DUNIA Satu lokasi menarik untuk dikunjungi di Yangon adalah Pagoda Shwedagon yang berusia lebih 2,600 tahun, dikatakan sebagai stupa Buddha paling tua di dunia. Pagoda ini menyimpan barangan peribadi milik empat orang Buddha iaitu tongkat milik Buddha Kakusandha, penapis air milik Buddha Konagamana, jubah milik Buddha Kassapa dan lapan helai rambut milik Buddha Gautama. Pelancong digalakkan mengunjungi pagoda ini pada waktu siang untuk melihat keindahan kawasannya, manakala pada sebelah malam pula berlangsung ritual sembahyang dengan nyalaan ribuan lilin di sekeliling pagoda. Antara yang sering dikunjungi kalangan pelancong beragama Islam adalah Masjid Jamek Bengali Sunni yang terletak bersebelahan sebuah lagi pagoda terkenal - Pagoda Sule. Selain berpeluang bersolat di masjid ini, pengunjung juga berpeluang berbual dengan penduduk tempatan yang memang biasa dengan perkataan ‘Malaysia'. Malah, ada yang boleh berbahasa Malaysia atau Indonesia kerana pernah bekerja dengan majikan dari kedua-dua negara itu. MERDEKA LEBIH AWAL Mendapat kemerdekaan daripada British pada 4 Januari 1948 - sepuluh tahun lebih awal daripada Malaysia - potensi negara yang pada waktu itu dikenali sebagai Burma pada awalnya nampak cerah. Limpahan pelabur antarabangsa membanjiri negara ini membuka kilang-kilang jenama terkenal antarabangsa. Imej negara ini melonjak dengan cepat di pentas politik antarabangsa dengan pelantikan wakil tetap negara ini ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, U-Thant sebagai Setiausaha Agung ketiga pertubuhan itu. Beliau adalah setiausaha pertama pertubuhan itu yang bukan dari negara barat. Namun peristiwa kudeta pada 1962 mengubah nasib negara ini dan menjadi titik mula diperintah oleh tentera. Disunting oleh Sarimah Othman --Bernama