BAGI mereka yang sudah bosan berkunjung ke Genting Highland, tarikan terbaharu di kota keriangan itu mungkin boleh mengubah fikiran anda. Satu hab baharu yang menawarkan lokasi menjamu selera dan hiburan malam yang diberi nama High Line akan dibuka di tingkat empat SkyAvenue di Resort World Genting. Beberapa kiosk makanan di kawasan yang dinamakan Carnivore Corner, Jon Bing, Seafood Market, Asian Heroes dan Burgers & Shots pastinya bakal memberi nafas baharu dalam kunjungan anda ke sana. Bagi meraikan pembukaan itu, High Line Festival akan diadakan pada 5 hingga 7 Oktober ini. Antara hidangan menyelerakan yang ditawarkan di High Line. Bertempat di venue dengan keluasan 13,094 meter persegi, ia dihias dengan dekorasi menarik yang diberi sentuhan segar dan pastinya bakal menawan pandangan mata anda. Menerusi festival itu, pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan DJ JJ, NRG Band, Overseez Band, D Element dan persembahan tarian yang penuh mantap dan energetik. Berbalik kepada elemen paling penting iaitu makanan, Carnivore Corner menawarkan anda seleksi sajian gaya Amerika seperti aneka daging dan sandwich. Di Jon Bing pula, anda boleh mencuba hidangan seperti Shanghainese egg roll crepe dan macam-macam lagi. Seafood Market juga wajib dikunjungi jika anda penggemar makanan laut yang disediakan dengan gaya masakan Asia.