suria

Rasa Malaysia di Ginza, Jepun

DAERAH Ginza di Jepun terkenal dengan tempat-tempat trendy, gedung-gedung, restoran mewah, Izakaya atau pub Jepun dan butik mewah. 

Dalam kerancakannya, terdapat sebuah restoran di tingkat lima sebuah bangunan.

Hampir setiap pemimpin Malaysia pernah menjamu selera di Rasa Malaysia Cuisine Ginza yang terletak di bangunan Ginza Morita.

Ia tidak perlu cuba menjadi restoran bintang Michelin, tetapi di sini rakyat Malaysia dialu-alukan dengan mesra dan mereka boleh menganggap seperti rumah, yang dikunjungi ramai, terutama usahawan ekpatriat dan pelajar di Jepun.

Menteri-menteri yang pernah melawat restoran ini termasuk Gobind Singh, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Baru Bian; jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei dan penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Rakyat Malaysia, dalam kunjungan singkat ke Tokyo, mungkin akan terlepas pandang restoran ini tetapi untuk kebanyakan umat Islam yang berdepan masalah untuk mencari makanan yang halal, atau sekurang-kurangnya bebas daging khinzir, mereka boleh mempercayai masakan Rasa Malaysia Cuisine.

(Dari kiri) Yun Tong, Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah dan Hui Chin di Rasa Malaysia Cuisine Ginza di Tokyo.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Ali, disertai Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, merasai hidangan di Rasa Malaysia Cuisine.

Pemilik restoran, Datuk Seri Tam Yun Tong, yang mengusahakan perniagaan tersebut selama lebih 20 tahun berkata, ia merupakan satu perhormatan dan keistimewaan untuk berkhidmat kepada Perdana Menteri.

"Ini adalah kunjungannya yang ketiga ke restoran kami. Kami sememangnya merasa rendah diri apabila beliau memilih untuk datang ke sini lagi," katanya dalam sesi temuramah.

Sajian kegemaran Dr Mahathir di Rasa Malaysia Cuisine adalah masakan daging lada hitam Sarawak, char koay teow dan sate.

Yun Tong juga menyajikan kek kepada Dr Mahathir untuk meraikan penghargaan 'The Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers' daripada Maharaja Akihito.

"Nampaknya maharaja sendiri mahu memberi anugerah tersebut kepada Dr Mahathir," kata pembantunya.

Difahamkan Dr Mahathir merupakan pemimpin luar negara terakhir yang menerima anugerah tersebut sebelum maharaja turun takhta pada 30 April tahun depan.

Yun Tong yang menetap di Jepun selama lebih 30 tahun, berbangga masih menjadi wargan Malaysia dan gembira kerana dapat memainkan peranan sebagai duta besar tidak rasmi dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kepada warga Jepun.

Seperti Dr Mahathir, Yun Tong merupakan anak kelahiran Kedan dan perjalanannya ke Jepun bermula sebagai seorang pelajar, di mana beliau juga merupakan presiden Persatuan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ).

"Saya memulakan restoran ini pada 1999, kerana saya merindui masakan ibu saya. Matlamat restoran ini adalah untuk memberikan rakyat Malaysia rasa makanan yang baik seperti masakan yang dimasak oleh ibu mereka, sambil memberi peluang kepada rakyat Jepun untuk menikmati rasa dan aroma masakan Malaysia asli, setiap kali mereka makan di sini," katanya.

Dengan bantuan isteri, Datin Seri Ang Hui Chin, mereka mencari bahan-bahan asli dari Malaysia.

"Ini untuk memastikan kita dapat rasa makanan Malaysia yang sebenar. Kami tidak mahu mengecewakan pelanggan kami, terutama rakyat Malaysia," katanya.

Antara hidangan yang disyorkan di Rasa Malaysia Cuisine adalah hidangan Nyonya pedas, yang terdiri daripada bahan-bahan Cina yang diadun dengan baik bersama rempah-rempah Melayu serta santan, serai, cili dan sambal.

"Kami ingin menjelaskan kepada orang asing bahawa ini adalah Malaysia. Ia merupakan satu platform sajian untuk semua kaum yang datang merasai hidangan bersama-sama," kata Yun Tong.

Weng Wah memberitahu restoran tersebut begitu dikenali dengan sokongan rakyat Malaysia.

Menu tersebut menawarkan kepelbagaian kepakaran Malaysia, dari nasi lemak, nasi goreng dan nasi ayam Hainan sehingga mee udang, mee Hokkien, nasi ayam claypot dan juga asam kepala ikan!

Untuk pencuci mulut, terdapat bubur cha cha, pisang goreng dan semestinya teh tarik, sekali gus melengkapkan sajian.

Chef Wong Weng Wah, yang berasal dari Kuala Lumpur, telah berkhidmat di beberapa hotel lima bintang di ibu negara tanah air.

"Saya gembira berada di Tokyo, kerana ia mencabar, dan Rasa Malaysia Cuisine dengan senang hati menjadi 'rumah' kepada rakyat Malaysia.

"Kami telah menjadi terkenal kerana cadangan oleh rakyat Malaysia. Kata-kata yang baik adalah bentuk iklan terbaik," katanya.

Yun Tong juga menghargai Kedutaan Malaysia, terutama duta Datuk Ahmad Izlan Idris, dan kakitangan mereka di atas sokongan yang berterusan.

Tetapi bukan makanan sahaja yang menjadikan Rasa Malaysia Cuisine Ginza begitu istimewa. Ia juga menyambut Hari Raya dan Tahun Baru Cina dengan menganjurkan rumah terbuka dalam semangat Malaysia yang sebenar setiap tahun.

Dan setiap kali Anak-Anak Malaysia Walk, sebuah acara tahunan yang dianjurkan oleh Eco World Development Group Bhd dan Star Media Group Bhd, diadakan restoran tersebut akan memuat naik gambar kakitangannya yang memegang Jalur Gemilang bagi menyokong acara itu.

Rasa Malaysia Cuisine Ginza terletak di Bangunan Ginza Morita 5F 3-3-6 Ginza Chuo-ku Tokyo, Japan. Butiran lanjut, sila hubungi +813-6263 2381 atau e-mel [email protected] - The Star

Artikel Lain