LOKASI yang cantik untuk bergambar adalah salah satu kriteria sebelum kita membuat pilihan untuk bercuti ke luar negara. Sebabnya, ramai 'kaki travel' masa kini mahu mengabadikan kenangan itu dalam album foto digital Instagram masing-masing. Awal bulan lalu penulis berpeluang mengikuti penyanyi Nabila Razali menerokai keindahan tempat-tempat menarik di kota Macau. Macau terkenal dengan gabungan budaya Cina dan Portugis jadi tidak hairanlah makanan, tradisi dan bangunannya menjadi salah satu tarikan pengunjung untuk ke negara ini. Kali ini penulis mahu beri fokus kepada tempat-tempat menarik yang boleh menjadi kenangan indah untuk kaki Instagram. Senado Square mempunyai corak bangunan Eropah. Senado Square Macau mempunyai banyak tempat yang menjadi warisan dunia dan salah satunya yang wajib anda kunjungi ialah Senado Square. Di sini, anda seperti berada di Eropah kerana corak bangunan, papan tanda hingga ke lantai jalanan membuatkan anda seolah-olah sedang berada di Portugal. Rugi kalau tak ambil gambar banyak-banyak di kawasan ini. Gereja ini dibina pada tahun 1640 namun musnah pada 1835. Ruins of St. Paul's Ia merupakan antara gereja tertua di Macau yang dibina pada tahun 1640 dan pada tahun 1835 bangunan tersebut terbakar hingga hanya meninggalkan pintu gerbangnya sahaja. Di sini juga menjadi tempat wajib bagi kaki foto kerana keindahan dan keunikannya yang tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Anda datanglah sendiri nanti. Kawasan ini juga disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco. Puncak bukit Mount Fortress dapat menyaksikan permandangan kota Macau. Mount Fortress Selepas itu kami mendaki bukit Mount Fortress yang mana anda boleh melihat pemandangan Macau dari puncak bukit itu. Di atas itu juga terdapat banyak meriam peninggalan Portugis yang kini menjadi tempat sejarah seperti A Farmosa Melaka tapi lebih besar turut menempatkan Muzium Macau. Kalau anda nak tahu lebih banyak tentang sejarah Macau bolehlah masuk ke muzium yang dibuka secara percuma itu. Kami sempat menikmati keenakkan ais krim durian. Taipa Village Apalah erti bercuti kalau tak belikan cenderamata kepada ahli keluarga dan rakan-rakan di Malaysia. Taipa Village tempat paling sesuai untuk anda mencari barangan seperti keychain, fridge magnet, ukiran dan kraftangan tempatan sehingga membuat anda keliru nak beli yang mana. Di sepanjang lorong Taipa Village ini banyak kedai-kedai makanan ringan, biskut, ais krim berperisa durian, kraftangan dan kafe. Kami sempat membeli makanan popular mereka iaitu tat telur Potugis terbaik yang terkenal di negara itu. Selepas mengunjungi warisan sejarah Macau, penulis ke daerah Cotai yang menempatkan bangunan-bangunan baharu yang lebih moden dan tersusun. Air pancut Wynn Palace memberi ketenangan. Wynn Palace Wynn Palace tempat paling cantik terutama untuk anda lepak-lepak pada waktu petang. Destinasi peranginan di Cotai yang paling menarik dan menakjubkan. Di hadapan Wynn Palace sudah ditampilkan tasik dengan air pancut yang menari mengikut rentak lagu. Kami turut menaniki kereta kabel yang disediakan secara percuma bagi pengunjung untuk menikmati pemandangan di kawasan itu. Paling cantik jika anda datang pada sebelah malam kerana cahaya lampu turut memberi kesan kepada tarian air pancut itu. The Venetian membawa anda pemandangan kota Venice. The Venetian The Venetian merupakan pusat membeli-belah dengan suasana romantis seolah-olah anda sedang berada di Itali. Reka bentuk dan pemandangan membawa anda di kota Venice. Terdapat juga gondola yang boleh membawa anda menikmati keindahan Hotel Venetian . Bukan itu sahaja, pemandu gondola juga akan menghiburkan anda dengan nyanyian merdu mereka dengan lagu-lagu klasik Itali. Macau Tower Kami juga berpeluang ke Macau Tower yang merupakan tempat yang wajib anda kunjungi. Bangunan ini merupakan yang ke-10 tertinggi di dunia dan ke-8 tertinggi di Asia. Anda boleh melihat seluruh bandar Macau dari atas dan terdapat aktiviti lasak yang anda boleh cuba seperti Sky Walking dan Bungee Jumping. Kalau anda nak tahu Bungee Jumping yang dikendalikan oleh AJ Hackett ini adalah yang tertinggi didunia iaitu setinggi 233 meter. Eiffel Tower The Parisian Macau ketinggian separuh daripada ketinggian Eiffel Tower Paris. Eiffel Tower The Parisian Macau Salah satu tempat yang cantik untuk diabadikan dalam Instagram anda. Ketinggian Eiffel Tower ini separuh dari ketinggian menara sebenar di Paris. Sebelah malam terdapat lampu di seluruh bangunan Eiffel Tower Macau ini dan ia pasti menerujakan melihat pemandangan dari bahagian atas. The House Of Dancing Water Pengalaman menakjubkan ketika menonton teater The House of Dancing Water. Kami juga berpeluang untuk menonton pertunjukan teater The House of Dancing Water di The City of Dream. Pertunjukan yang sangat menarik itu berlangsung selama 90 minit. Teater berunsurkan air itu membuatkan anda berasa cemas dari mula sampai ke minit terakhir kerana aksi-aksi akrobatik pelakon dan penari profesional. Selain itu dari segi kebersihan Macau antara bandar yang susah nak nampak sampah. Bandarayanya bersih dan mesra pelancong. Mereka turut menggunakan bahasa Mandarin, Kantonis dan Inggeris. Macau menggunakan mata wang Macau Pataca atau Hong Kong Dolar. Untuk keterangan lanjut berkaitan Macau boleh layari Pejabat Pelancongan Kerajaan Macao atau Facebook Macao Tourism Malaysia.