SETIAP kali tibanya musim perayaan, kebanyakan kita akan mengambil cuti panjang sama ada untuk balik kampung menghabiskan masa bersama keluarga ataupun melancong ke destinasi pilihan. Ramai yang dilihat mengambil peluang cuti Tahun Baharu Cina kali ini untuk ‘terbang’ ke luar negara, namun tahukah anda secara keseluruhannya rakyat Malaysia masih memihak kepada perjalanan dalam negara. Menurut Agoda, salah satu platform tempahan penginapan dalam talian paling pesat berkembang di dunia, destinasi domestik mendominasi lapan daripada 10 destinasi percutian pilihan rakyat Malaysia dalam tempoh perayaan ini dengan Melaka paling menjadi tumpuan (tempat ke-3) diikuti Pulau Pinang (ke-4), Kuala Lumpur (ke-5) dan Ipoh (ke-6). Bagaimanapun Hat Yai dan Bangkok, Thailand masing-masing berada di kedudukan pertama dan kedua dalam 10 senarai destinasi pilihan rakyat Malaysia pada tahun ini, berbeza dengan tahun 2017 dan 2018 yang mana Kuala Lumpur dan Melaka menduduki dua tangga teratas. Pemandangan resort yang indah di Amanpuri, Phuket. - Foto Agoda Turut dikunjungi ramai termasuklah Langkawi (ke-7), Port Dickson (ke-8), Kota Kinabalu (ke-9) dan Johor Bahru (ke-10). Data Agoda juga menunjukkan bahawa Bangkok, Tokyo dan Taipei adalah tiga destinasi paling popular bagi pelancong Asia Pasifik untuk tempoh Tahun Baharu Cina 2019. Secara keseluruhannya, Jepun, Taiwan dan Thailand paling mendapat manfaat dengan kehadiran pelancong pada musim cuti Tahun Baharu Cina 2019. Data penempahan Agoda dikumpul dan disemak untuk tarikh Tahun Baharu Cina pada tahun 2017, 2018 dan 2019 dari pasaran di serata Asia.