BUAT mereka yang teringin merasai pengalaman kemeriahan Festival Songkran yang menjadi acara wajib di Thailand nampaknya tidak perlu bersusah payah membeli tiket ke negara itu. Ini kerana pada 13 dan 14 April ini, sebuah festival yang hampir sama iaitu UChat Songkran Day-Out bakal diadakan di Setia City Oval Lawn, Setia Alam dari pukul 10 pagi hingga 9 malam. Ha! Inilah masanya nak simbah air ke arah rakan atau musuh anda! Paling best, menerusi festival itu nanti disediakan 10 aktiviti berkaitan air termasuk Waterfun Family Zone, Water Gun Fun Zone, Giant Bubble Playland dan Rock Paper Scissors Water War. Paling penting semua aktiviti itu adalah mesra keluarga! Jadi ia sesuai untuk menghabiskan masa hujung minggu seisi keluarga. Bab makan juga tidak perlu bimbang apabila lokasi festival juga menyediakan puluhan trak makanan sepanjang acara berlangsung. Pelbagai aktiviti menarik diadakan di UChat Songkran Day-Out. Tak cukup dengan itu, beberapa selebriti terkenal antarabangsa dan tempatan seperti Chung Ha, BNK48 dan Jannine Weigel bersama Bunkface, Elizabeth Tan, Min Chen, Priscilla Abby dan As'ad Motawh turut hadir bagi membuat persembahan. Songkran disambut oleh masyarakat di Thailand bagi meraikan tahun baharu yang disambut sekitar 13 hingga 15 April setiap tahun. Perayaan itu disambut pada hari paling hangat setiap tahun di Thailand iaitu penghujung musim kemarau. Acara itu dianjurkan oleh UChat, aplikasi pertama di Malaysia untuk kiriman mesej dan e-dompet. Tiket untuk ke UChat Songkran Day-Out boleh didapati pada harga RM189 (VIP Experience) dan RM139 (Premium Zone). Turut dijual tiket Basic Zone untuk aktiviti air tanpa konsert berharga RM49 untuk dewasa dan RM25 (kanak-kanak). Tiket untuk acara ini hanya boleh didapati melalui Aplikasi UChat yang boleh dimuat turun secara percuma dari Google Play Store atau App Store dan semua urus niaga pada festival hujung minggu itu sepenuhnya tanpa tunai melalui UChatPay.