BERCUTI adalah satu perkara yang ditunggu-tunggu apatah lagi jika ia sudah lama dirancang. Tidak kira sama da anda memilih percutian di bandar besar, bandar bersejarah, resort atau di pulau, sudah tentu aspek keselesaan dan keselamatan yang paling diutamakan. Baru-baru ini tersebar kisah pasangan dari Singapura yang bercuti ke Bali, Indonesia yang mendakwa diri mereka diserang dan dirompak. Malah, percutian indah pasangan suami isteri muda itu bertukar menjadi mimpi ngeri selepas mereka mendakwa diarah untuk membayar ganti rugi skuter sewa yang telah dicuri sebanyak 250 juta Rupiah (RM72,149). Kisahnya bermula apabila Eugene Aathar, 24, dan isterinya Dolly Ho, 22, memilih Bali sebagai destinasi percutiaan namun malang menimpa mereka selepas mereka sesat dalam perjalanan pulang ke vila tempat penginapan mereka di Kuta, dalam kejadian pada 6 Mei. Mereka yang dalam perjalanan pulang ke Kuta pada pukul 2 pagi itu tiba-tiba didatangi dua lelaki tidak dikenali yang merampas telefon bimbit Samsung S10 milik Ho yang ketika itu sedang digunakan untuk tujuan navigasi. Apa yang berlaku terhadap Aathar (kanan) dan Ho boleh dijadikan pengajaran buat mereka yang ingin bercuti ke luar negara. -fotoFB Detik menjadi makin cemas apabila penyerang tersebut bertindak menendang skuter yang dinaiki mereka sehingga Aathar dan Ho terjatuh. Portal berita Must Share melaporkan insiden itu mengakibatkan Aathar mengalami kecederaan ringan manakala isterinya, Ho mengalami kecederaan bahu patah dan tidak sedarkan diri. Aathar memberitahu dia telah meminta bantuan daripada orang yang lalu lalang dan seorang lelaki telah mendekati mereka dengan bertanyakan di mana letaknya skuter mereka. Malangnya, selepas lokasi skuter ditunjukkan, lelaki tersebut membawa lari skuter tersebut bersama wang 12 juta rupiah. Pasangan itu akhirnya dibawa ke hospital oleh seorang pemandu van yang lalu di situ. Tetapi, pasangan itu mendakwa mimpi ngeri mereka tidak berakhir di situ. Aathar mendakwa staf vila tersebut meminta bayaran ganti rugi skuter sebanyak RM72,149 sedangkan ia hanya disewa pada harga 125,000 rupiah (RM36). Malah, mereka didakwa mengugut menghalang mereka meninggalkan Indonesia jika tidak mahu membayarnya. Selepas mendapat persetujuan dua pihak, Aathar akhirnya hanya membayar ganti rugi skuter tersebut sebanyak RM3,463 (12 juta rupiah). Pasangan muda itu akhirnya membuat laporan polis sebelum pulang ke Singapura tanpa sebarang sekatan dan Ho telah menerima rawatan semula di National University Hospital (NUH). Sementara itu, theindependent.sg melaporkan vila berkenaan dalam satu kenyataan menafikan dakwaan tersebut. -stomp.straitstimes