suria

Bakal beroperasi Ogos ini, pesawat Boeing 747 penyeri taman tema dasar laut pertama dunia

KEBIASAANNYA pesawat kelihatan berlegar-legar di ruang udara, namun jangan terkejut apabila Boeing 747 diletakkan di dasar laut sebagai tarikan pelancong.

Terbaharu, pesawat Boeing 747 bakal dihias indah di dasar laut kepulauan Bahrain yang terletak di ibu kota Manama.

Meliputi kawasan seluas 100,000 meter persegi, pesawat Boeing 747 sepanjang 70 meter itu akan mula beroperasi dalam masa terdekat  sebagai taman tema dasar laut pertama dunia.

Selain tumpuan pelancongan, habitat lautan juga dijaga dengan baik apabila bahan-bahan toksik daripada pesawat tersebut dikeluarkan demi menjaga kawasan persekitaran.

Selesai proses itu barulah pasukan khas akan menenggelamkan pesawat tersebut melalui prosedur yang telah ditetapkan. 

Boeing 747 yang dilupuskan itu antara pesawat terbesar dipilih untuk taman tema baharu ini.

Bagi yang ada pengalaman menyelam, ini lah peluang keemasan anda untuk melawat taman tema bawah air berkenaan!

Pesawat Boeing 747 ketika dibawa ke tengah laut sebelum ditenggelamkan untuk melengkapi taman tema dasar laut.

Menurut kenyataan di laman web Dive Bahrain, pelancong juga boleh merujuk kepada pusat menyelam berlesen pada Ogos ini berkaitan taman tema itu.

"Taman tema ini pasti akan muncul sebagai tarikan pelancong global sesuai dengan projek bertaraf dunia, lebih-lebih lagi ia meliputi kawasan luas yang tentunya akan memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi pelancong dan penyelam," katanya.

Dalam usaha memulihkan ekosistem laut, ia juga inisiatif negara berkenaan untuk memelihara persekitaran laut dalam memenuhi piawaian alam sekitar di peringkat antararabangsa.

Selain pesawat berkenaan, taman ini juga mempunyai replika rumah peniaga mutiara tradisional Bahrain, terumbu karang buatan dan ukiran lain yang dibuat dari bahan mesra alam.

Penyelidik yang melawat taman tema bawah air juga dapat memperoleh maklumat tentang ekologi laut, malahan projek ini juga akan membantu dalam meningkatkan kesedaran tentang memelihara habitat laut.- India Today 

Boeing 747, travel, pelancongan, Bahrain

Artikel Lain