suria

Penemuan manusia purba ‘Bewah Man’ bukti Tasik Kenyir unik

Rangka Bewah Man ditemui di Gua Bewah, Tasik Kenyir.

MESKIPUN Tasik Kenyir adalah tasik buatan manusia, ia unik kerana mempunyai ekologi perikanan berciri purba sehingga memungkinkan ikan primitif seperti kelisa atau arowana boleh hidup di dalamnya.

Ikan kelisa yang terdapat di tasik ini adalah daripada spesies bernilai tinggi iaitu Kelisa Mutiara, Kelisa Merah dan Kelisa Emas.

Kemampuan ikan ini hidup di Tasik Kenyir membuktikan ekologi yang terbentuk di sini adalah stabil dan berciri purba meskipun tasik ini adalah tasik buatan manusia.

ARTIKEL BERKAITAN: Musim tengkujuh datang lagi! Tasik Kenyir diserbu pelancong, lubuk ikan buat ‘kaki pancing’

“Kualiti air di Tasik Kenyir memang tidak boleh ditandingi. Airnya tidak bertukar keruh meskipun hujan turun seperti sekarang.

"Kalau di tempat lain jika hujan sudah tentu air tasik boleh bertukar keruh tetapi di sini tidak.

Tasik Kenyik menjadi antara lokasi tarikan pelancong tempatan dan luar negara.

"Perkara ini dikongsikan oleh Dr Mohd Fazrul Hisam Abd Aziz, pensyarah kanan bidang Teknologi Alatan Perikanan dan Ekologi Perikanan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan sekumpulan wartawan Bernama yang dibawa melawat sekitar tasik berkenaan baru-baru ini termasuk pusat penyelidkan universiti itu di Pengkalan Lawit.

Antara ciri kualiti air di Tasik Kenyir termasuk airnya yang betul-betul tawar dan tidak payau, mempunyai kedalaman yang cukup serta ekosistem rantaian makanan yang baik dengan kehadiran phytoplankton, zooplankton dan serangga di pinggir tasik yang menjadi makanan kepada ikan.

Spesis istimewa

Menurut Mohd Fazrul, selain kelisa, terdapat beberapa spesies ikan lain yang amat sensitif terhadap persekitaran seperti kelah dan siakap air tawar juga boleh didapati di Tasik Kenyir.

Beliau berkata, ikan kelah sememangnya amat sensitif terhadap persekitarannya untuk membiak kerana habitatnya mesti air semula jadi yang bersih.

Sekiranya ada pihak yang berhajat menternak ikan kelah secara komersil, mereka perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk membina replika persekitaran semula jadi termasuk mencipta arus air terjun yang amat diperlukan kelah.

Atas sebab itulah satu sanktuari khusus diwujudkan di sini sejak Januari 2006 untuk memelihara populasi ikan kelah di kawasan ini.

Sanktuari ini dibuka kepada pelancong yang boleh merasai sendiri keseronokan bermain dengan ribuan ikan kelah yang hidup bebas di tasik ini.

Mohd Fazrul dikelilingi ikan-ikan spesis unik di Tasik Kenyir.

Namun sesiapa pun tidak dibenarkan untuk menangkap ikan kelah walaupun seekor.

Ranjer ditempatkan di sini untuk memantau pengunjung termasuk memeriksa beg yang mereka bawa untuk memastikan tiada kelah dibawa keluar dari kawasan ini.

Semua ikan kelah di sanktuari ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985, Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Kaedah 21).

Di bawah akta itu, mana-mana orang yang didapati menangkap, membunuh dan memiliki ikan dalam kawasan tutup yang dinyatakan jika sabit kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi RM 1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya dengan perintah pegawai perikanan darat.

Tambah Mohd Fazrul, spesies ikan lain yang yang terdapat di Tasik Kenyir yang menjadi kegemaran ramai untuk dijadikan hidangan adalah ikan tapah, baung, sebarau dan lampam jawa.

Perikanan unik

Di samping mempunyai ekologi ikan yang menarik, Tasik Kenyir turut menyaksikan kaedah penangkapan ikan secara kecil-kecilan dan bersifat tradisional "artisanal", yang sukar ditemui di tempat lain yang, terutamanya dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

“Alat memancing tradisional, peralatan perikanan lama dan teknik menangkap ikan era dahulu masih ada di sini. Penggunaan pukat hanyut, bubu, serampang, lembing dan panah ikan masih lagi digunakan di sini.

“Rawai yang mereka gunakan juga istimewa kerana tidak menggunakan mata kail tetapi digantikan dengan buah ara untuk menangkap Kelah. Teknik ini melindungi ikan daripada cedera kerana buah ara yang lekat di insang ikan,” kata Mohd Fazrul.

Aktiviti tuba ikan di sini juga lain dari yang lain. Masyarakat Orang Asli menggunakan akar pokok tertentu untuk menuba berbanding aktiviti tuba di tempat lain yang menggunakan bahan kimia beracun.

Pemandangan Tasiur Kenyir pada waktu malam.

Berdasarkan penjelasan Mohd Fazrul, dapat juga difahami antara sebab sumber ikan di Tasik Kenyir kekal lestari adalah kerana mentaliti nelayan tempatan khususnya daripada masyarakat Orang Asli yang tidak melakukan penangkapan berlebihan.

Jelas beliau, keutamaan mereka adalah untuk makanan harian dan bila ada hasil yang lebih barulah mereka jual untuk menampung kelangsungan hidup seharian.

Saiz pukat yang digunakan juga bersaiz dua inci ke atas untuk mengelakkan anak ikan terperangkap di dalam pukat.

Aktiviti perikanan turut menjadi daya tarikan kepada industri pelancongan di sini. Penggunaan rumah bot untuk memudahkan pergerakan kaki pancing ke sana sini amat meluas.

Di samping itu penjualan peralatan perikanan turut menjana pendapatan penduduk tempatan.

Manusia purba

Selain ekosistem perikanan purba, Tasik Kenyir turut dikenali sebagai tapak kehidupan manusia di masa lampau.

Penemuan rangka manusia purba ‘Bewah Man’ pada tahun 2009 adalah satu titik penting dalam sejarah Tasik Kenyir kerana rangka ini dianggarkan berusia 16,000 tahun iaitu 5,000 tahun lebih tua daripada rangka manusia purba tertua negara ‘Perak Man’ berusia 11,000 tahun yang ditemui pada 1991 di Lenggong, Perak.

Di samping itu, pada 2014, sekumpulan penyelidik dan pensyarah beberapa universiti tempatan menemui fosil dinasour termasuk tapak kaki, tulang dan gigi di taman negara di Gunung Gagau, di sini.

Kewujudan perkampungan Melayu tradisional di Kampung Jenagor dekat sini turut menjadi satu perkara menarik kerana lokasi ini dikatakan pernah menjadi pusat perkembangan Islam di rantau ini pada masa lampau.

Mengulas perkara ini, Dr Hazman Samsudin, pengerusi Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, UMT berkata, pihak UMT sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan tahap sosio-ekonomi penduduk Tasik Kenyir dan kawasan sekitarnya.

Bewah man yang ditemui kini dipamerkan kepada orang ramai.

“Komuniti ini mempunyai budaya unik dan komuniti itu tidak ramai. Mereka terdiri daripada anak muda yang sanggup mengorbankan cita-cita mereka demi menjaga budaya tradisi Melayu…jadi kami di UMT bersama beberapa lagi pihak seperti Perhilitan dan MOTAC melatih mereka untuk melibatkan diri dalam bidang pelancongan menggunakan translation grant,” katanya.

Untuk makluman, translation grant adalah dana pembiayaan diperolehi daripada Kementerian Pengajian Tinggi (kini Kementerian Pendidikan) untuk kajian yang diaplikasikan terus kepada masyarakat kumpulan sasaran.

Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) mengeluarkan lencana hijau yang membolehkan warga komuniti setempat menjadi pemandu pelancong selepas melalui sesi latihan yang diperlukan.

Samsudin turut menegaskan bahawa sudah sampai masanya Tasik Kenyir diisytihar sebagai Taman Geopark agar dapat merancakkan lagi industri pelancongan di kawasan ini yang akan dapat meningkatkan status ekonomi masyarakat tempatan.

“Apabila ada aktiviti ekonomi di kawasan ini, golongan muda tidak lagi perlu berhijrah ke bandar untuk mendapatkan pekerjaan dan ini dapat memastikan budaya masyarakat tempatan yang selama ini terpelihara dapat dikekalkan hingga masa depan,” jelas beliau. 

Tasik Kenyir, Bewah Man, Unik

Artikel Lain