suria

Semua ada! Menu dunia, lokasi menarik lengkapkan pakej Australia... destinasi ‘wish list’ percutian anda

Pantai Balmoral di Sydney cukup menenangkan untuk menikmati makanan sambil melihat pemandangan laut. - Foto TOURISM AUSTRALIA

SELEPAS tiga bulan memerap di rumah ekoran penularan Covid-19, pasti ramai di antara kita yang sudah tidak sabar untuk kembali melancong dan menggembara ke luar negara.

Berkunjung ke luar negara bukan sahaja untuk melawat lokasi menarik malahan menikmati dan merasai pengalaman kuliner terbaik.

Apabila sudah selamat untuk kembali terbang ke luar negara, pastikan Australia dimasukkan dalam senarai pilihan kerana negara dengan jolokan 'Down Under' itu menawarkan pelbagai hidangan terbaik daripada pelbagai budaya!

ARTIKEL BERKAITAN: 5 negara Eropah ini paling selamat dikunjungi ketika dunia ‘tutup pintu’ akibat Covid-19... jaga jarak sosial di pantai antara SOP ketat

Bagi yang beragama Islam, tak usah khuatir kerana Australia juga menawarkan pelbagai pilihan makanan halal yang cukup mudah diakses di mana sahaja.

Menikmati makanan laut segar di Seafood Seduction Tour, Tasmania. - Foto TOURISM AUSTRALIA

Tasmania, Semenanjung Eyre di South Australia syurga makanan laut segar!

Bagi penggemar makanan laut, boleh singgah ke Tasmania dan sertai lawatan Seafood Seduction yang dikendalikan oleh Pennicott Wilderness Journeys untuk merasai makanan laut segar dan terbaik.

Tiram yang dibawa naik segar dari laut selain abalone dan landak laut pastinya memberi pengalaman berbeza kepada kembara anda. Itu belum lagi udang karang, kerang, ikan salmon dan banyak lagi dihidangkan bersama roti, salad, keju dan sebagainya.

Manakala di Coffin Bay yang terletak di Semenanjung Eyre, Australia Selatan, Oyster Farm Tours akan membawa anda mengelilingi perairan dan memberi anda diberi peluang untuk meneroka aktiviti nelayan dan merasai tiram segar. Menarik, bukan?

Hidangan Timur Tengah, India rai pelbagai budaya Australia

Tahukah anda di seluruh Australia ada saja restoran yang menawarkan makanan halal dengan pelbagai juadah daripada pelbagai budaya seperti Asia Tenggara, Timur Tengah hinggalah menu tempatan - semuanya ada!

Mendapatkan maklumat mengenai tempat makanan halal memang mudah – anda hanya perlu membuat carian di Internet, dan anda akan dapat melihat senarai restoran halal seperti Efendy di Balmain, Sydney di mana cef Somer Siviroglu menyediakan makanan khas dari tanah kelahirannya, Turki.

Itu belum lagi restoran Marrakech Moroccan di Adelaide yang bukan sahaja menawarkan pelbagai hidangan halal enak tetapi hiasan dalaman dan muzik Arab memberikan suasana berbeza kepada pengunjung.

Restoran Efendy di Balmain, Sydney antara yang terbaik. - Foto WWW.EFENDY.COM.AU

Bagi yang inginkan suasana romantik dan hidangan daripada India, The Saffron di Hobart, Tasmania adalah tempat harus ditujui. Bukan sahaja restorannya menghadap dermaga yang cukup indah malah ia menjanjikan pengalaman kulinari terbaik.

Mana tidaknya, cef berpengalaman akan menyediakan masakan asli India Utara dan Kashmir - paling penting, bahan-bahan dan daging digunakan semuanya halal.

Jika ingin bertukar selera dengan masakan Nepal, Kathmandu Cuisine di Hobart antara sering menjadi perhatian dengan pelbagai seleksi makanan seperti Momo iaitu ladu sayuran atau daging selain bhanta aloo iaitu juadah berasaskan terung dan kentang.

Paling penting perlu cuba merasai keenakan bebola keju yang dimasak bersama air gula sebagai pencuci mulut.

Nikmati piza yang enak di Samiuz Ristorante and Pizzeria di Canberra. - Foto FACEBOOK SAMUIZ RISTORENTE AND PIZZERIA

Piza, pasta halal pun ada!

Mungkin ada yang tidak menggemari menu Timur Tengah dan inginkan sesuatu yang lebih bersifat tempatan - Samuiz Ristorante and Pizzeria di Canberra ada jawapannya.

Seperti nama restorannya, ia menawarkan pelbagai pasta carbonara, arrabiata, lasagna sehinggalah veal parmigiana yang disediakan segar buat pelanggan.

Hanya 15 minit daripada bandar, restoran Itali ini turut menyediakan pelbagai jenis piza termasuklah kegemaran ramai - Piza Istanbul dengan sosej pedas.

Tak hanya itu, di lokasi sama anda juga boleh memesan stik dan pelbagai pilihan makanan laut yang semuanya dijamin halal.

Rasai pengalaman kulinari di Australia yang mempunyai pelbagai kepelbagaian. - Foto TOURISM NT & ARCHIE SARTRACOM

Pemandangan pantai yang menakjubkan

Jika bercakap soal pemandangan, Australia cukup mempersonakan dengan pantai yang indah dan jernih menjadikan ia antara lokasi cukup sempurna untuk bersantai atau menikmati makanan.

Jangan lepaskan peluang untuk merasai pemandangan di lokasi menarik di Sydney seperti di Pantai Bondi, Quay berhampiran Sydney Opera House atau Catalina di Rose Bay untuk menghirup bayu segar. Bagi yang lebih sukakan ketenangan, pantai Balmoral adalah destinasi sesuai.

Alang-alang berada di Perth, jangan lupa berkunjung ke pelbagai kafe dan restoran di sepanjang persisiran Cottesloe – kunjungi tatkala matahari terbenam dan nikmati pemandangan istimewa di samping makanan lazat.

Sari Rasa terletak di pusat bandar Darwin menawarkan pelbagai menu Indonesia. - Foto FACEBOOK SARI RASA

Citarasa nusantara ubat rindu masakan tempatan

Bagi yang tak boleh hidup tanpa nasi dan sambal, Australia juga mempunyai pelbagai pilihan restoran masakan nusantara dari Indonesia dan Malaysia seperti Sari Rasa yang terletak di pusat bandar Darwin. Tersembunyi di Cavenagh Street, ia pasti berbaloi kerana ia menyediakan pelbagai hidangan enak Indonesia.

Jika berkesempatan ke sana, jangan lupa mencuba kari ayam pedas dan kari terung pedas. Memang mengancam!

Di lokasi sama, Sumatra Cafe yang terletak di Anthony Plaza di Smith Street Mall antara pilihan popular. Menu tengah harinya, rendang daging dan terung cili antara menjadi kegemaran pelanggan malah anda perlu datang awal untuk makan tengah hari jika tidak mahu menunggu lama.

Jimmy’s Recipe menyediakan pelbagai hidangan masakan Malaysia. - Foto FACEBOOK JIMMY RECIPE

Ais campur bersama kacang merah, jeli dan buah-buahan adalah penutup terbaik makan tengah hari anda.

Rakyat Malaysia yang merindui masakan tempatan, Jimmy’s Recipe yang terletak di Circular Quay, Sydney adalah jawapannya!

Mi kari adalah antara menu yang wajib dicuba jika singgah ke Jimmy’s Recipe selain mi goreng, nasi lemak. Ia pelengkap kembara anda ke Australia dengan merasai juadah tempatan di negara asing.

Eat Street Northshore di Queensland. - Foto TOURISM AUSTRALIA

Rasai pengalaman 'pasar malam'

Jika ingin merasai pengalaman seperti penduduk tempatan, pasar terbuka di Australia adalah lokasi patut dimasukkan ke dalam agenda perjalanan anda.

Bukan sahaja pelbagai seleksi makanan, pasar terbuka yang kebanyakannya beroperasi pada hujung minggu dan sesetengah pada hari biasa menjual pelbagai barangan seperti pakaian vintaj, antik dan perhiasan yang membuatkan anda rambang mata!

Di Melbourne, Queen Victoria Market menawarkan lebih 700 gerai di atas tapak sebesar 17 ekar! Lebih terkenal dengan menjual pelbagai makanan, di sinilah tempatnya anda mendapatkan bahan seperti sayuran segar, buah zaitun dan keju.

Jangan lepaskan peluang berkunjung ke pasar tertua di Melbourne iaitu South Melbourne Market yang dibuka sejak 1864 - di sini anda dapat membeli pelbagai produk segar, pastri dan sebagainya.

Eat Street Northshore di Brisbane, Queensland pula telah menjadi destinasi impian bagi penggemar makanan sejak dilancarkan pada tahun 2013.

Setiap hari Jumaat dan Sabtu malam dan petang Ahad, orang ramai akan memenuhi syurga foodie ini.

Sebut sahaja nak makan apa - burger klasik, fish and chip, siput bersama sos mentega bawang putih, roti, manisan sehinggalah makanan Asia dan Korea, semuanya ada di sini. Bagi yang mencari hidangan halal, jangan khuatir kerana terdapat beberapa gerai yang menawarkan makanan halal jadi anda berpeluang menikmati keunikan pasar ini!

Bagi membantu anda merancang percutian ke Australia, layari: Australia.com



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain