suria

Pelancongan maya, apa tu? Jom terokai MyVXp: Digital Tourism Unlimited... serendah RM15 macam-macam ada!

Pengerusi Tourism Productivity Nexus (TPN), Uzaidi Udanis (kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada ikon program MyVXp yang juga penyanyi legenda Fredo Flybaits dan turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail.

SEJAK Covid-19 melanda dunia, antara sektor terkesan adalah industri pelancongan apabila banyak negara menutup pintu masuk kepada pelancong sebagai langkah membendung penularan wabak itu.

Malaysia sendiri turut merasai kesannya apabila industri pelancongan dan kebudayaan mengalami kerugian dianggarkan mencecah RM45 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini akibat pandemik Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Atasi tekanan operasi musim Covid-19, MPC galak PKS manfaat teknologi

Bagaimanapun di sebalik situasi semasa yang membimbangkan itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui inisiatif Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) melancarkan projek perintis iaitu Malaysia Virtual Experience (MyVXp) pada Mei 2020 dalam suasana norma baharu dan kini ia mula menampakkan hasil positif.



Menyasarkan 1,000 prototaip, MyVXp adalah pakej pengalaman dalam talian yang menampilkan tarikan, destinasi dan produk pelancongan di Malaysia, di mana ia bakal menjadi kebiasaan baharu dalam pelancongan, pengembaraan secara maya dan pelancong maya.

Pengerusi TPN, Uzaidi Udanis berkata, usaha meningkatkan produktiviti industri pelancongan itu juga berjaya melatih lebih daripada 450 hos melalui sesi pementoran atas talian yang dikendalikan oleh 14 mentor.

Jelas Uzaidi, mentor yang dipilih juga mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam inovasi produk, pemasaran dan promosi digital serta adaptasi teknologi dalam persembahan maya secara langsung.

"Program pementoran MyVXp selama 10 jam ini mengajar pemain industri dengan lima modul utama yang membantu mereka dalam inovasi produk daripada penyampaian secara offline kepada siaran langsung atas talian.

"Ia sekaligus dapat meningkatkan kemahiran mereka dalam mempromosi produk mereka kepada pelancong berpotensi yang menyertai program siaran langsung itu," katanya.

Sebahagian pemain industri yang mengambil bahagian dalam program MyVXp.

Sementara itu, Uzaidi berkata, menerusi program ini juga, ia adalah salah satu alternatif untuk merasai pengalaman melancong tanpa batasan, yang mana mereka masih boleh 'mengembara' dengan selesa dan selamat tanpa perlu meninggalkan rumah.

"Sebenarnya di Malaysia sendiri terlalu banyak khazanah, destinasi dan aktiviti yang masih belum ramai terokai dan menerusi MyVXp kita mengumpulkan pemain industri dengan pelbagai latar belakang dan produk dalam memberikan pengalaman berbeza kepada pelancong," jelasnya.

Antara segmen yang diperkenalkan menerusi platform itu termasuklah Seni dan Hiburan, Pengembaraan Maya, Pelancongan Arkeologi dan Geologi, Budaya dan Warisan, Sejarah, Kraftangan, Kesihatan, Kecantikan, Pendidikan dan sebagainya.

Uzaidi memberitahu, MyVXp juga memberi peluang kepada mentee yang terlibat menjana pendapatan hasil daripada jualan tiket kepada pelanggan yang menyertai program pelancongan secara maya.

Timbalan Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail dan Pengerusi Tourism Productivity Nexus (TPN), Uzaidi Udanis.

Malah katanya, ada yang mampu menjana pendapatan sebanyak RM500 hanya selepas sejam mengadakan video siaran langsung.

"Sebagai seorang penggiat industri, saya merasai sendiri impak negatif Covid-19 ke atas syarikat pengusaha pelancongan malah ada terpaksa menutup sementara perniagaan dan berada dalam situasi sukar kerana ketiadaan aliran tunai yang masuk.

"Inilah tujuan utama MyVXp iaitu bagi membantu pemain industri menjana pendapatan dengan menggunakan teknologi sekaligus memberi pelancong pengalaman maya yang luar biasa," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Haji Abu Seman berkata, usaha TPN menghasilkan produk pelancongan maya adalah bertepatan dengan aspirasi MPC dalam memastikan teknologi dan digitalisasi dimaksimakan dalam meningkatkan produktiviti industri.

Sehingga kini terdapat 450 hos menyertai sesi pementoran bagi memantapkan pemasaran dan promosi secara digital.

Malah kata Abdul Latif, teknologi bukan lagi satu alternatif dalam bergerak ke hadapan sebaliknya ia kini satu kemestian.

"Dalam suasana tidak menentu disebabkan pandemik, teknologi dan digitalisasi kekal sebagai elemen yang konsisten sebagai pemangkin produktiviti dan ia hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.

Tambahnya, MPC akan terus melaksanakan mandat melalui Malaysia Productivity Blueprint (MPB) dalam meneraju produktiviti negara melalui usaha kolaborasi dengan penggiat industri yang merupakan pemain utama ke arah mencapai sasaran produktiviti negara.

Pelbagai segmen diperkenalkan menerusi MyVXp yang cukup menarik.

MyVXp dijangka selesai menjelang akhir tahun ini dan individu yang berminat untuk menyertai MyVXp boleh merujuk kepada laman Facebook Tourism Productivity Nexus.

Manakala orang ramai yang ingin merasai pengalaman melancong secara maya tanpa batasan boleh melayari kofkino.com atau exploremalaysiavirtually.com di mana lebih 150 produk MyVXp telah sedia untuk diterokai secara digital.

Tiket dijual dengan harga di antara RM15 hingga RM50 untuk pengalaman secara maya selama 60 ke 90 minit.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain