GENTING Cruise Lines dan Penang Port Sdn Bhd merancang untuk memulakan semula perkhidmatan dan operasi kapal Star Pisces di Pulau Pinang dengan itinerari baharu ke Pulau Langkawi bermula 13 Mei 2021 bagi menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri. Perjalanan ke Pulau Langkawi yang dicadangkan termasuk pelayaran dua malam Langkawi Escape dan pelayaran semalam Straits of Malacca yang akan bertolak dari Pulau Pinang.ARTIKEL BERKAITAN: 100 pengunjung pertama masuk percuma, selebihnya diskaun 50 peratus... Apa lagi jom saksikan panorama indah di Menara KL dan Menara Alor Setar! Star Pisces, kapal yang dimiliki Star Cruises dengan muatan 40,053 tan dan kapasiti 1,600 penumpang ini akan menjadi kapal persiaran pertama yang beroperasi semula di Malaysia dan salah sebuah kapal yang paling awal memulakan operasi di dunia.Super Seacation Percutian dan penginapan di tengah laut ini amat berbeza daripada staycation iaitu penginapan hotel di daratan. Ia memberi alternatif kepada pelancong untuk bersantai di atas kapal sambil dilambai bayu laut di bawah sinaran matahari. Penumpang pelbagai peringkat umur pasti terhibur dan terpesona dengan pelbagai pilihan restoran, kemudahan rekreasi dan riadah yang tersedia sepanjang pelayaran itu. Star Pisces Blue Lagoon yang cukup luas dan selesa. Pada peringkat awal, kapal ini akan beroperasi dengan kapasiti penumpang terhad selain semua aktiviti atas kapal akan diatur mengikut saiz kumpulan dibenarkan. Selain itu, pihak pengurusan akan mengambil langkah untuk memastikan setiap individu dan kumpulan mengamalkan jarak sosial yang selamat. Perjalanan bersama Star Pisces ke Pulau Langkawi akan memberi peluang kepada penumpang untuk menikmati keindahan semula jadi dan keunikan warisan budaya di pulau yang digelar 'Permata Kedah'. Pelayaran dua malam Langkawi Escape akan bertolak dari Pulau Pinang setiap Jumaat dan Ahad dan pengunjung akan singgah di pulau itu selama 10 jam. Straits of Malacca yang menawarkan percutian satu malam pula akan bertolak pada setiap Selasa, Rabu dan Khamis dan penumpang berpeluang menyaksi pelbagai jenis kapal pengangkutan yang lalu di di Selat Melaka. Pengunjung boleh bersantai sambil berhibur di Star Pisces Galaxy of the Stars. Pulau Pinang, homeport terbaru kapal Star Pisces pula adalah sebuah destinasi percutian eksotik yang terkenal di dunia. George Town, Pulau Pinang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2008. Juga dikenali sebagai 'Pearl of the Orient', Pulau Pinang mempunyai keindahan alam dan kepelbagaian budaya yang tersendiri serta pantai-pantai yang cantik dengan pasir yang halus dan terkenal sebagai destinasi makanan terbaik di Malaysia. Naib Presiden Jualan, Genting Cruise Lines, Cynthia Lee berkata, perancangan itu juga dapat membantu perkembangan sektor pelancongan di Pulau Pinang dan Pulau Langkawi. "Seperti rakyat Malaysia yang lain, percutian alternatif seperti inilah yang kami nanti-nantikan, lebih-lebih lagi apabila melancong ke luar negeri masih tidak dibenarkan pada masa ini. “Pelayaran ke Pulau Langkawi ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk kembali bercuti di tengah laut. Apabila penumpang-penumpang memanjangkan percutian mereka sebelum atau selepas pelayaran, ia akan menolong sektor pernerbangan, restoran, peruncit dan industri perhotelan," katanya. Ruang Star Pisces Genting Palace yang mewah. Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn Bhd, Datuk Sasedharan Vasudevan berkata, adalah penting bagi pihaknya memberi sokongan kepada Genting Cruise Lines untuk menjamin keselamatan dan keselesaan penumpang yang bercuti dalam memberi suntikan kuat kepada sektor pelayaran tempatan. Atas sebab itu katanya, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Genting Cruise Lines untuk merancakkan kembali operasinya dengan percutian pelayaran yang selamat tanpa mengabaikan faktor keselamatan dan kualiti perkhidmatan. "Kami berharap dengan kerjasama antara dua pihak ini kami dapat mewujudkan satu piawaian kualiti yang lebih tinggi untuk sektor perkhidmatan pelayaran dan merangsang kembali industri pelancongan domestik," katanya. Paling penting katanya, permulaan semula perkhidmatan dan operasi kapal persiaran akan dapat menghidupkan semula sektor ekonomi pelancongan dan membantu ejen-ejen pelancongan yang teruk terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 dan seterusnya memberi lebih peluang perkerjaan kepada warga tempatan. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!