suria

Mahu percutian anda di Johor lebih bermakna... terokai 10 'hidden gem' ini, 6 daripadanya di Muar!

Jika datang ke Johor, ini tempat-tempat yang wajib anda bawa keluarga atau rakan-rakan singgah untuk menikmati keunikan tarikan disini.

ANDA mungkin tidak pernah terlintas untuk melawat Muar, Johor tetapi selepas ini pasti mengubah fikiran untuk berkunjung di negeri di selatan tanahair ini.

Sebagai pekan bersejarah di Johor, Muar yang juga dikenali sebagai Bandar Maharani adalah salah satu permata tersembunyi di Malaysia yang perlu anda pertimbangkan untuk melawat dalam masa terdekat.

ARTIKEL BERKAITAN: Tu diaaa... Tawaran ‘gila-gila’ diskaun 50 peratus harga tiket dan aktiviti lain di Legoland sempena Festival Persahabatan

Diisytiharkan sebagai Bandar Diraja Johor oleh Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj pada 2012, Muar yang sentiasa aman dan bersih telah menjadikannya sebagai salah satu bandar terbersih di Asia Tenggara.

Terkenal dengan kopi, inap desa, makanan dan budaya serta warisan penuh bersejarah, ia merupakan destinasi sempurna untuk penggemar makanan dan mereka yang mencari tempat tenang untuk berehat.

Jika singgah ke Johor, ini merupakan 10 'hidden gem' selatan yang sedang menunggu untuk anda terokai.

1. Kopi 434

Jika anda mencari rasa asli kopi tempatan di Muar, inilah tempat yang patut dikunjungi.

Ditubuhkan pada tahun 1953, Sai Kee Coffee ialah sebuah rumah kayu dua tingkat yang terletak sangat dekat dengan sungai Muar, dan di seberang Stesen Bas Bentayan.

Mereka menyediakan kopi asli seperti Kopi Gajah, Kopi O dan Kopi Musang (Luwak). Jika tidak pernah mendengar tentang kopi yang dikaitkan dengan gajah mahupun musang, anda mungkin mahu Google sebelum menghirupnya.

Selain itu, mereka juga menyediakan espresso, cappuccino, white coffee dan banyak lagi. Jangan lupa bawa pulang produk lambang kedai mereka iaitu Kopi Cap 434!

2. Desa Keroma Resort Muar

Apabila anda merancang perjalanan bercuti, ingat bahawa penginapan adalah sangat penting.

Desa Keroma Eco Resort Muar merupakan destinasi pelancongan di daerah Muar dan antara yang terbaik di negeri Johor terletak di Parit Keroma Laut Jalan Joned.

Resort ini amat sesuai untuk keluarga, jabatan kerajaan dan swata, NGO dan persatuan untuk menjalankan aktiviti atau program seperti hari keluarga, majlis perkahwinan, program motivasi dan seminar atau mesyuarat kerana semua kemudahan yang disediakan serba lengkap dan sangat memuaskan.

Terbahagi kepada dua laman utama iaitu laman A dan laman B, Desa Keroma Eco Resort menawarkan pelbagai pilihan penginapan antaranya Villa Kayu Manis di Laman A menyediakan 16 kamar asas (katil kelamin) dengan harga RM120 seunit atau RM140 pada cuti umum.

3. Muar Leather Craft (MLC)

Pengalaman kerja seni kraf kulit selama lebih 30 tahun dikembangkan fungsinya dengan menubuhkan Muar Leather Craft yang telah mula beroperasi sekitar tahun 2018.

Berkecimpung dengan seni kraf kulit sejak tahun 1989, pemilik Muar Leather Craft, Roslin Osman, 58, menjelaskan, selain daripada menghasilkan produk seni rekaan berasaskan material kulit haiwan, MLC juga ingin memupuk kesedaran kepada masyarakat tentang definisi sebenar produk kraf kulit yang tidak atau jarang diketahui umum.

Selain itu, pelanggan atau pengunjung juga harus celik dalam memilih produk buatan kulit bukan sahaja kerana reka bentuknya malah, kualiti jahitan dan ketepatan jenis kulit dengan produk dihasilkan.

Menyentuh kembali pembabitannya dalam menghasilkan produk utama, sarung tangan jenama FootJoy dan Titleist, Roslin berkata, buat masa ini dia hanya mampu memenuhi 200,000 unit sarung tangan berbanding satu juta permintaan.

Tidak terkecuali dari tempias kesan pandemik, MLC masih boleh bernafas lega lantaran permintaan penyambung pelitup muka yang menggalakkan dari pelanggan.

4. Tiram Sungai Muar

Penternakan tiram di dasar sungai merupakan warisan terkenal di muara Sungai Muar.

Tiram spesies ini, satu-satunya yang terdapat di dunia dan hanya terdapat di muara Sungai Muar di Johor telah disahkan sebagai spesies baharu dan dinamakan Crassostrea (Magallana) saidii.

Lebih unik lagi, disahkan bahawa spesies itu tidak terdapat di kawasan lain di dunia melalui penyelidikan dilakukan antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Queen's University Belfast.

Spesies itu dikenali sebagai ‘tiram putih’ dalam kalangan penduduk dan nelayan tempatan kerana isinya yang berwarna putih krim serta berkualiti tinggi.

Ia lebih mendapat sambutan penggemar tiram berbanding spesies Crasssotrea belcheri (tiram kapak) juga boleh dijumpai di muara Sungai Muar.

Kegiatan mencari tiram di situ turut menjadi tumpuan pelancong yang mahu melihat secara dekat bagaimana nelayan menyelam ke dasar sungai bagi mendapatkan spesies berkenaan.

Kaedah unik ‘menyelam tiram’ di Oyster Bay bukan sahaja menjadi daya tarikan pelancongan terbaharu di daerah ini tetapi menjadi pusat penyelidikan haiwan akuatik berkenaan dan juga pembangunan usahawan di kawasan berkenaan.

Jika berkesempatan, anda sendiri boleh merasai pengalaman makan tiram yang mana merupakan tiram Sungai Muar yang mendapat permintaan baik sama ada individu biasa hingga ke restoran besar dan hotel tertentu berikutan rasa enak dan kaya dengan nutrisi untuk kesihatan menjadikannya amat digemari ramai.

5. Songkok Masood Hussin

Jenama songkok “Masood Hussin” sangat terkenal di Bandar Diraja Muar, namun tidak ramai mengetahui bahawa seni warisan songkok yang diasaskan oleh Allahyarham Masood Hussin lebih 75 tahun lalu, kini diwarisi cucu perempuannya, Nurdalila Abd Ghani.

Menurut Nurdalila, keistimewaan songkok Masood Hussin adalah ia diperbuat dengan tangan dan material yang digunakan diimport selain saiznya tinggi sedikit berbanding songkok biasa.

Atas minat mendalam terhadap seni buatan aksesori pelengkap baju Melayu itu, wanita berusia 42 tahun itu nekad membuka kedainya sendiri di Jalan Abdullah di Muar pada 2002 untuk menjual secara komersial songkok jenama arwah datuknya yang pernah popular di Muar sekitar tahun 1960-an.

Tambahnya lagi, perniagaannya juga tidak terkecuali daripada terjejas ketika penularan wabak COVID-19 dengan sebelum itu penjualan mampu mencecah sebanyak 30,000 songkok setahun, namun pada tahun lalu (2020) jualan hanya sekitar 10,000 songkok.

Butik Songkok Masood Hussin Jalan Majidi Muar di sini, bukan setakat menghasilkan produk secara buatan tangan, malah pelanggan boleh menempah sendiri rekaan, warna dan fabrik mengikut lilitan kepala yang tepat.

6. Fortune Dragon Yong Peng

Patung Kemakmuran Naga di Yong Peng, Johor telah siap dibina pada 2016 dengan anggaran kos RM8 juta.

Ia dikatakan sebagai terowong naga terbesar di dunia dengan panjang 115 meter tetapi fakta ini tidak benar kerana mereka membina naga sepanjang 21 kilometer di Wilayah Henan China beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, Fortune Dragon memberikan pengalaman berjalan mengelilingi taman dan pelawat masuk melalui mulut naga dan keluar berhampiran ekor.

Di dalamnya terdapat 144 anak tangga yang disusun secara naik dan turun mengikut badan naga tersebut.

Dinding dalaman naga itu dipenuhi dengan rangkaian lukisan tradisional Cina dengan kapsyen dalam bahasa Cina, Melayu dan Inggeris.

7. Labis Sunrise Farm

Menikmati keindahan pemandangan di Labis Sunrise Farm, merasai buah-buahannya yang sedap dan pengalaman pelancong datang ke sini tidak akan dapat dilupakan jika anda singgah atau menginap di homestay disediakan di sini.

Jika cuaca dalam keadaan baik pada hari tersebut, anda mungkin berpeluang melihat matahari di waktu pagi memecah langit yang menghubungkan Labis dan Segamat, dua bandar utama Johor.

Anda juga berpengalaman merasai pengalaman menaiki bas mini melalui jalan laterit yang condong sedikit lebih mencabar sebelum sampai ke pintu masuk utama Labis Sunrise Farm.

Selepas melalui prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, termasuk pemeriksaan suhu dan imbasan kod QR MySejahtera, anda akan menuju ke Titik Tinjau Keluar yang menawarkan pemandangan persekitaran subur di ladang berdekatan homestay tersebut.

Terletak di tempat bertingkat tertinggi di kawasan itu, tempat ini menyerupai rumah tradisional Melayu lengkap dengan ukiran kayu keras tempatan yang rumit dan hiasan tradisional yang unik kepada Johor.

Tanpa apa-apa selain kehijauan subur di sekeliling, anda juga boleh melalui kawasan seluas 150 hektar dipenuhi dengan spesies tumbuhan serta buah-buahan tropika yang tidak terkira banyaknya.

8. Muar Art Gallery

Di seluruh dunia termasuk Malaysia sendiri, orang ramai telah mula mengambil serius konsep kafe.

Bukan hanya mahu memegang secawan minuman istimewa di tangan mereka, tetapi mereka juga mahu merasai pengalaman di dalam kafe direka indah sambil melihat beberapa karya seni terpilih yang akan memukau fikiran mereka.

Bagi pengunjung yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Muar, Muar Art Gallery adalah gabungan ruang seni, hab makanan dan kedai di bawah satu bumbung.

Terdapat begitu banyak untuk ditemui dan dipelajari terutamanya dalam ruang seni yang mereka sediakan. Terokai sisi kreatif anda sambil berseronok melawat seni di kafe tersebut.

9. Muar Street Art

Memandangkan Muar antara bandar yang mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri, makanya nilai sejarah ini telah diangkat dan diadaptasikan melalui lukisan-lukisan mural di dinding-dinding bangunan yang penuh dengan maknanya tersendiri.

Kebanyakkan mural yang berada di sekitar Muar ini berkonsepkan budaya masyarakat tempatan, jadi tidak hairanlah sekiranya anda berjalan-jalan di celahan lorong lalu melihat banyak lukisan mural yang memaparkan gambar seperti alatan muzik dan tarian tradisional Johor serta gaya hidup masyarakat terdahulu.

Anda pasti terimbau kenangan lalu saat menatap mural-mural di Muar ini kerana setiap lukisan mempunyai nilai nostalgia yang tersendiri.

10. Sate Maharani Bando Muo

Mesti anda rasa sedikit janggal untuk mulakan sarapan dengan makan sate? Tidak bagi orang di 'bando Muo' kerana memang sangat terkenal dengan sate makanan kegemaran semua peringkat umur.

Anda pasti sanggup berkejar ke Muo semata-mata untuk menikmati keenakan Sate Maharani Muo, R&H Cafe yang menyediakan 3 jenis sate, iaitu sate ayam, sate daging dan sate perut..

Jika anda makan Sate Maharani ini, anda akan dapat merasai kelainan yang begitu sempurna, semua rasa ada pada Sate Maharani, rasa rempah-ratusnya, masam manisnya, dan lemak masinnya, semua secukup rasa.

Pengalaman menarik meninjau hidden gem ini dirasai seramai 17 wakil media terdiri daripada agensi media cetak, elektronik dan media baharu yang menyertai Program Ekspresi Media: Southern Hidden Gem anjuran Tourism Malaysia selama empat hari dari 23 hingga 26 November 2021.

Program bertujuan mengembalikan keyakinan rakyat untuk melancong bagi menguar-uar jaminan produk pelancongan bersih dan selamat dalam amalan norma baharu khususnya di Wilayah Selatan. Program ini turut mendapat kerjasama Pejabat Daerah Muar bagi mempromosikan produk-produk pelancongan negeri Johor.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain